“AMK Patut Minta Maaf Jika Ada Maruh Dan Adab” – Satiful Bahri Mamat

Pas Terengganu menyokong kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berhubung tuduhan yang dibuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba bekerjasama dengan Umno.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, sekiranya AMK ada maruah dan adab, mereka perlu membuat permohonan maaf, tambahan isu tersebut sudah lama dinafikan Abdul Hadi.

Pihaknya terkilan kerana isu tersebut masih dimainkan oleh rakan pakatan sedangkan Pas dengan jelas berpendirian untuk sentiasa konsisten bersama Pakatan Rakyat (PR) sebagaimana diputuskan pada Muktamar Tahunan Pas lalu.

“AMK sepatutnya minta maaf jika ada maruah dan adab, kerana perkara ini sudah lama dinafikan oleh Presiden Pas. Namun mereka dilihat berterusan memainkan isu ini, begitu juga dengan isu UG (kerajaan perpaduan). Itu isu untuk jatuhkan presiden dan satu fitnah,” katanya.

30 April lalu, Pemuda Pas Pulau Pinang mengalah dan menggerakkan semula jenteranya bagi membantu PRK Permatang Pauh dengan alasan memastikan kerusi parlimen itu tidak jatuh ke tangan musuh PR.

Sungguhpun begitu, mereka masih kekal dengan desakan agar AMK Pulau Pinang memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan biadab dan memfitnah Abdul Hadi, dua bulan lalu, dan dalam kenyataan berasingan, beliauberkata, tindakan berkenaan wajar dilakukan.

Mengulas lanjut, Satiful menyatakan, ahli mana-mana parti pasti tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak hina presiden mereka.

Katanya, tindakan Pemuda Pas Pulau Pinang memboikot PRK Permatang Pauh sebelum ini merupakan isyarat.