“AMK Perlu Minta Maaf! Walaupun Pemuda PAS Pulau Pinang Menarik Balik Tindakan Boikot PRK Pematang Pauh” – Timbalan Mursyidul Am PAS

Walaupun Pemuda Pas Pulau Pinang menarik balik tindakan memboikot PRK Permatang Pauh, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang tetap wajar memohon maaf sebagaimana dimahukan.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, tindakan tersebut wajar dilakukan berikutan dakwaan mengaitkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang cuba menjalinkan kerjasama dengan Umno.

“Meminta maaf ni mesti ada sesuatu, mungkin bagi Pemuda, itu satu tuduhan kepada presiden. Wajarlah (minta maaf) jikalau tuduhan itu tidak betul,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco negeri di Kota Darul Naim, semalam.

Menolak dakwaan Abdul Hadi dikatakan ‘mesra Umno’, yang mana salah satunya mengaitkan Ahli Parlimen Marang itu dengan isu hudud, Ahmad berkata, pemimpin tersebut tidak mempunyai hubungan sebagaimana didakwa.

“Kerajaan negeri dan persekutuan bersetuju mewujudkan jawatankuasa teknikal bagi melihat bagaimana Perkara 355 boleh dibuat pindaan di peringkat Parlimen, itu sahaja dan sudah dimaklumkan kepada pihak tertinggi parti,” katanya.

Jelasnya, berkaitan perkara itu, ia bukan melibatkan kepartian tetapi persetujuan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Mengulas perkara sama, Ketua Pemuda Pas negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, AMK Pulau Pinang tetap perlu meminta maaf dan menarik balik kenyataan mendakwa presiden menjalinkan hubungan dengan Umno.

“Ini bukan isu hudud, perlu difahami bahawa pendirian Pemuda Pas Pulau Pinang adalah tohmahan dikeluarkan pihak dalam AMK, jadi tuntutan maaf ini tidak pernah gugur, cuma sekarang kita sedar mengenai kemaslahatan lebih besar iaitu persediaan berdepan dengan BN pada PRK Permatang Pauh,” katanya.