DAP Pilih Wan Azizah, Pas Calon Hadi Sebagai Ketua Pembangkang

DAP memilih Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala PAS mencalonkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Ketua Pembangkang di parlimen yang baharu.

DAP lebih suka jika Wan Azizah dipilih sebagai Ketua Pembangkang berbanding timbalannya yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

“Jika Dr Wan Azizah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, beliau akan mengambil alih kerusi yang sebelum ini diisi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.

“Kerusi Parlimen itu diisytiharkan kosong selepas permohonan keluarga Anwar untuk mendapat pengampunan diraja ditolak.”

Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke dilaporkan Malaysiakini berkata Ketua Pembangkang yang baharu hanya akan diputuskan selepas PRK Permatang Pauh.

“Kami akan buat keputusan mengenai ketua pembangkang selepas pilihan raya kecil,” kata ketua whip DAP, Anthony Loke.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak, Tuan Haji Razman Zakaria mencalonkan Hadi sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

“Pada hemat saya, hanya dengan mengangkat Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang sebagai ketua pembangkang dan cerminan Perdana Menteri masa depan sahaja yang boleh mempercepatkan dan memudahkan proses peralihan kuasa UMNO/BN kepada Pakatan Rakyat dalam PRU14 akan datang.

“Kalau rakan Pakatan Rakyat mengidam untuk ke Putrajaya, mereka sepatutnya bersetuju terhadap cadangan saya, dan mungkin ia adalah “persetujuan yang mereka tidak bersetuju,” kata Razman dalam blog peribadinya semalam.

Namun, cadangan Razman dianggap ironik kerana mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 23 Mac lalu telah sebulat suara memutuskan hubungan dengan Hadi.