Hadi Awang Tidak Akan Berkempen Untuk Presiden PKR di Permatang Pauh?

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan beliau tidak akan berkempen untuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Ketika ditanya sebab beliau tidak turun berkempen di Permatang Pauh, Hadi berkata beliau sibuk dengan program parti yang diatur lebih awal selain terpaksa berulang ke hospital untuk menerima rawatan.

Hadi berada di ibu negeri Sabah untuk merasmikan konvensyen PAS negeri.

Beliau agak aktif berkempen untuk calon partinya di pilihan raya kecil parlimen Rompin, namun belum muncul di Permatang Pauh walaupun tempoh kempen hanya tinggal beberapa hari.

Ketiadaan Hadi di Permatang Pauh di lihat sebagai “membalas” ketiadaan pemimpin-pemimpin utama PKR dan DAP membantu jentera PAS di Rompin.

Ia juga memperlihatkan hubungan semakin rapuh di antara Hadi dan pimpinan PKR serta DAP, sekali gus menguatkan spekulasi Pakatan Rakyat akan berpecah secara rasmi tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Hadi berkata beliau tidak mengetahui secara pasti golongan mana yang dikatakan membantah pencalonan Wan Azizah untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh.

Beliau enggan menyalahkan anggota PAS, sebaliknya berkata mungkin golongan itu adalah daripada pihak yang cuba membuat provokasi sebelum ini.

PAS Permatang Pauh dan Pemuda PAS negeri sebelum ini bercadang memulau Wan Azizah dan hanya akur untuk menggerakan jentera kempennya selepas di arah oleh PAS Pusat.

Mengenai pendirian PAS Pusat berhubung ahli Pakatan Rakyat (PR) Sabah khususnya DAP yang menolak pembabitan PAS dalam PR Sabah, Hadi berkata terpulanglah kepada PR negeri masing-masing untuk membuat keputusan namun PAS masih anggota PR Pusat.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan PAS tetap dengan pendiriannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Beliu juga menegaskan PAS berpegang kepada persetujuan dicapai di kalangan pemimpin-pemimpin PR sebelum ini yang memulangkan kepada parti masing-masing dalam soal pendirian parti yang berbeza.