HUDUD : Guan Eng Tersepit Dengan Perjanjian Sendiri

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kini tersepit dengan perjanjiannya sendiri apabila bersetuju mengenai polisi PAS untuk menubuhkan Negara Islam yang tanda tangani sebelum Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) lalu.

Justeru, Pengerusi Biro Undang-undang dan Hak Asasi Gerakan Baljit Singh berkata adalah tidak mustahil mengapa kini Guan Eng menukar pendiriannya dengan terus menerus menentang PAS untuk melaksanakan hukum hudud.

“Sekarang ini beliau (Guan Eng) tersangkut (tersepit) dan tersilap sendiri. Jadi, untuk berdalih tentang perkara itu dia kata PAS tidak boleh laksanakan.

“Tapi memang dia sudah janji dengan PAS yang parti itu boleh memperjuangkan hudud.

“Jadi, dia (Guan Eng) memang hipokrit sebab dia sendiri tak boleh menjawab kepada pengundi Cina kenapa dia sokong PAS walaupun dia tahu bahawa PAS akan laksanakan hukum hudud,” katanya memberitahu Antarapos.

Malah, menurut Baljit pihaknya telah lama meminta agar Guan Eng memberi penjelasan berhubung perjanjian yang dimeterai oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Bagaimanapun, jawapan yang diberikan Guan Eng mengecewakan.

“Kami dah lama minta dia (Lim Guan Eng) dijelaskan tapi dia enggan jelaskan dan hanya beri komen bahawa ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’,” jelasnya.

Namun, Baljit berkata perkara tersebut hanyalah mainan politik Guan Eng untuk terus mengekalkan sokongan pengundi Cina kepada parti itu.

“Ini semua permainan politik beliau sahaja untuk menampakkan beliau hero bagi kaum Cina. Itu sahaja.

“Dia (Guan Eng) telah berjanji dengan kaum Cina bahawa ia tidak akan dilaksanakan tapi dalam masa yang sama telah berjumpa dengan PAS untuk bersetuju agar PAS boleh terus berjuang bagi hukum hudud.

“Oleh itu, nampak ketidakjujuran pihak DAP,” tegasnya.

Pergeseran antara Guan Eng dan Hadi semakin memuncak selepas parti majoriti Cina itu bertindak memulau kerjasama dengan PAS.

Tindakan itu berpunca daripada PAS Kelantan yang mahu melaksanakan hukuman hudud, di mana Hadi mewakili parti untuk membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian ke Parlimen.

Tonton kenyataan bersama PAS & DAP: