Jawapan Dari Datuk Rahman Dahlan, Perumahan & Kerajaan Tempatan Kepada Tuduhan Tony Pua Bahawa JKP & PERDA Adalah Agensi yang Berasakan Keuntungan

Ahli Parlimen DAP Petaling jaya, Tony Pua, mengeluarkan tuduhan dan cuba membela Lim Guan Eng: http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/rm1.8m-for-a-home-in-penang-is-not-affordable-pua-tells-minister

Berikut adalah jawapan dari Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan:

1. JKP Sdn Bhd & PERDA adalah dua agensi Persekutuan yang dipertanggungjawabkan untuk membina rumah mampu milik di Pulau Pinang.

2. YB Tony Pua mendakwa kedua-dua agensi ini adalah berasaskan keuntungan. Itu tidak benar. Fungsinya bukan begitu. Pulangan tahunan kedua-dua syarikat itu dengan jelas menunjukkan mereka tidak mendapat keuntungan sejak ditubuhkan. Pada tahun yang baik, mereka mencatat keuntungan kira-kira RM2 juta setahun walaupun mengeluarkan modal besar bagi membina rumah mampu milik di Pulau Pinang. Bagi tahun kurang memberangsangkan, mereka mencatat kerugian besar dalam tempoh 15 tahun dengan membina lebih 20,000 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang. Dalam beberapa projek, JKP & PERDA menanggung kerugian mencecah RM20 juta bagi membina komponen rumah mampu milik.

3. Rekod semasa menunjukkan JKP & PERDA mempunyai 30,000 permohonan daripada rakyat Pulau Pinang yang amat memerlukan rumah kos rendah dan mampu milik. Oleh kerana kerajaan negeri pimpinan DAP/PR tidak mampu memenuhi keperluwn ini, Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan untuk membina 9,500 unit kediaman bagi fasa pertama.

4. Bagaimanapun, kerajaan negeri DAP/PR belum memberi kelulusan sehingga kini.

5. Pada pandangan saya, kerajaan negeri DAP/PR seolah-olah sengaja melambatkan kelulusan walaupun JKP dan PERDA bersikap penuh berhemah dalam menyelesaikan segala isu atau kebimbangan yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri DAP/PR. Surat dihantar dan permohonan untuk bertemu dikemukakan oleh JKP dan PERDAN. Tiga tahun berlalu, kelulusan belum juga diberi.

6. Selepas beberapa tahun ‘merayu bagi pihak rakyat Pulau Pinang’, JKP dan PERDA akhirnya dapat menemui pihak kerajaan negeri DAP/PR pada Disember tahun lalu. Seperti diduga, kerajaan negeri mengubah peraturan bagi pelaksanaan projek perumahan oleh JKP dan PERDA.

7. JKP dan PERDA memberi maklum balas segera pada Januari 2015. Mereka menghantar cadangan baharu bagi memenuhi kehendak dan menjawab kebimbangan kerajaan negeri DAP/PR walaupun JKP dan PERDA berasa ia sengaja dibuat bagi menyukarkan keadaan di pihak mereka.

8. Kita sudah memasuki bulan Mei, menunggu selama 5 bulan (dan masih menunggu), belum ada jawapan atau kelulusan diterima daripada kerajaan negeri DAP/PR. Saya beranggapan, dengan mengambil alih peranan kerajaan tempatan menerusi Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) yang dipengerusikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, keadaan akan menjadi lebih mudah. Saya tersilap.

9. Kita tidak dapat mengelak daripada mempersoalkan mengapa kerajaan negeri DAP/PR sengaja melambat-lambatkan kelulusan sedangkan mereka menyedari rumah berkenaan akan dibina di tanah Kerajaan Persekutuan menggunakan dana Kerajaan Persekutuan?

10. Mengapa mereka mahu menyusahkan keadaan sedangkan kerajaan negeri DAP/PR tidak perlu menanggung sebarang kos bagi pembinaan rumah mampu milik terbabit?

11. Mengapa mereka mengenakan syarat tambahan jika harga asal rumah mampu milik yang dicadangkan oleh JKP dan PERDA adalah 20-30% lebih rendah berbanding harga pasaran (dan subsidi besar diberi kepada rumah kos rendah)? Saya mahu biarkan rakyat Pulau Pinang memikirkan sendiri jawapan berhubung motif Ketua Menteri menggunakan kuasa memberi kelulusan mengikut arahannya. Sebelum ini, kelulusan kerajaan tempatan sudah memadai.

12. Hari ini, Tony Pua mempertahankan keputusan kerajaan negeri DAP/PR dengan kenyataan penuh muslihat. Beliau mendakwa kelulusan itu ditangguhkan kerana projek membabitkan pembinaan rumah banglo bernilai RM1.8 juta seunit.

13. Ini kebenarannya: hanya 20 unit banglo akan dibina. Angka itu tidak relevan berbanding 9,500 unit rumah mampu milik yang akan dibina JKP & PERDA. Kebanyakan banglo ini adalah rumah rehat mirip pusat peranginan yang akan disewa sebagai rumah rehat korporat. Unit-unit ini tidak akan dijual. Bagaimanapun, selepas pertemuan dengan kerajaan negeri DAP/PR pada Disember tahun lalu, JKP & PERDA mengambil keputusan untuk mengurangkan bilangan banglo yang bakal dibina.

14. Sementara itu, baki 9,500 unit merangkumi rumah kos rendah (3,500 unit berharga RM42,000 seunit), rumah sederhana rendah (2,000 unit berharga RM72,000 seunit) dan kediaman mampu milik (4,000 unit berharga RM160,000 -RM400,000 seunit). Bagi tujuan perbandingan, pemaju di plot tanah bersebelahan meletakkan rumah mampu milik pada harga setinggi RM700,000 seunit.

Mari kita selami isu ini dengan lebih mendalam.

15. Mengapa projek JKP dan PERDA mempunyai rumah yang agak mahal? Ia bertujuan membantu menampung subsidi harga rumah kos rendah dan sederhana rendah dalam skala kecil. Harus diingat, JKP dan PERDA perlu membina tambahan 20,000 unit pada masa akan datang bagi memenuhi keperluan rakyat Pulau Pinang. Keuntungan daripada kediaman berharga tinggi ini boleh digunakan bagi pembangunan rumah kos rendah di Pulau Pinang.

16. Rumah kos rendah dan sederhana rendah yang akan dibina JKP dan PERDA menerima subsidi besar. Segmen rumah mampu milik ditawarkan pada harga di bawah harga pasaran (kira-kira 20%-30%). Keuntungan bakal diperoleh JKP dan PERDA hasil pembinaan projek 9,500 unit rumah itu adalah kecil berbanding kos keseluruhan yang melebihi RM1 bilion. Pemaju swasta biasanya mengaut keuntungan dua atau tiga kali ganda lebih besar. Dalam keadaan itu pun, pulangan diterima akan dilabur kembali oleh JKP dan PERDA bagi lebih banyak projek rumah kos rendah dan rumah mampu milik di Pulau Pinang.

17. Saya dapat lihat betapa mudahnya Tony Pua terkeliru. Projek perumahan JKP dan PERDA bertujuan memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Beliau lupa isi rumah berkenaan berpendapatan antara RM5,000 hingga RM15,000 sebulan tetapi dengan keadaan menanggung beberapa anak, mereka berdepan cabaran untuk membeli rumah di Pulau Pinang. Itu sebabnya JKP dan PERDA turut membina rumah bagi golongan berkenaan kerana menyedari bukan semua rakyat Pulau Pinang mahukan rumah kos rendah. Ada antara keluarga golongan pertengahan ingin memberi rumah lebih naik, tetapi terpinggir daripada pasaran semasa. Kerajaan Persekutuan mahu membantu mereka menerusi projek perumahan dikendalikan JKP dan PERDA.

18. Agak menarik juga mendengar Tony Pua menyentuh isu tanah JKP dan PERDA. Beliau mendakwa tanah itu sepatutnya digunakan untuk membina rumah bagi golongan berpendapatan rendah, bukannya kediaman berjuta ringgit. Menurutnya, Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya mengaut keuntungan dari tanah Pulau Pinang yang didakwanya dibeli oleh Kerajaan Persekutuan pada harga amat rendah.

19. Itu adalah alasan hambar bagi menghalang rakyat Pulau Pinang memiliki rumah kos rendah dan mampu milik.

20. Saya nyatakan sebelum ini bahawa apa juga keuntungan kecil yang diraih JKP & PERDA (berbanding pelaburan keseluruhan), kalau pun ada, akan digunakan bagi membina lebih banyak rumah pada masa akan datang.

21. Tony Pua sepatutnya memahami bahawa strategi silang subsidi tidak menjadi kesalahan kerana ia turut diamalkan pemaju lain di negara ini. Apa yang penting ialah ia dapat membantu harga rumah kos rendah dan mampu milik berada di bawah kadar pasaran.

22. Bagaimanapun, oleh kerana Tony Pua mengingatkan kita bahawa kerajaan tidak sepatutnya mengaut keuntungan daripada tanah yang dibeli pada harga murah ketika membina rumah, saya mahu bertanya kepada Tony: Bukankah benar kerajaan negeri DAP/PR menilai harga tanah di Batu Kawan pada kadar RM35 – RM45 sekaki persegi sedangkan tanah itu dibeli daripada orang awam pada harga 35 sen sekaki persegi sebelum ini? Mengapa DAP tidak menawarkan kepada pemaju supaya mengambil peluang harga tanah murah itu untuk membina rumah murah bagi rakyat Pulau Pinang? Mengapa kerajaan DAP/PR mahu mengaut keuntungan besar daripada tanah murah sedangkan DAP menyedari betapa sukarnya rakyat Pulau Pinang membeli rumah murah dan mampu milik di negeri itu ketika ini?

23. Di akhirnya, keseluruhan isu berkisar kepada kesungguhan kerajaan negeri DAP/PR Pulau Pinang. Mereka boleh memberi kelulusan kepada Kerajaan Persekutuan membina rumah berkenaan, atau mereka boleh terus bermain politik dan mencari seribu alasan untuk menghalangnya.

24. Itu sebabnya saya meminta pengundi di Permatang Pauh memberi isyarat jelas kepada
kerajaan negeri DAP/PR bahawa mereka sudah jemu dan tiada masa melayan kerenah mengarut kerajaan negeri.

25. Pengundi perlu menyatakan suara hati mereka kepada kerajaan negeri DAP/PR menerusi pilihan raya kecil ini.

26. Saya meminta pengundi Permatang Pauh memberi ‘pengajaran politik’ kepada kerajaan negeri DAP/PR dalam pilihan raya kecil ini supaya pemimpin seperti Tony Pua dan Lim Guan Eng terjaga daripada bulan madu yang berlanjutan selama 7 tahun dalam menguruskan Pulau Pinang.