Kerjasama PR: Abdul Hadi Kecewa PKR & DAP Tidak Konsisten

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui PAS berhasrat mahu meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat namun terpaksa berdepan sikap pemimpin sekutunya yang tidak menghargai kerjasama itu.

“PAS konsisten sepanjang kerjasama kita dengan orang lain. Apa yang berlaku orang lain yang tidak konsisten, terus terang saya sebut,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvesyen PAS Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad.

Hadi dilaporkan telah meluahkan kekecewaan beliau berhubung kerjasama antara PAS dan PKR serta DAP yang disifatkannya tidak konsisten untuk berkerjasama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kedudukan PAS Sabah dalam pakatan pembangkang selepas parti itu disingkirkan PKR dan DAP Sabah baru-baru ini kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.

Berikutan itu, katanya terpulang kepada kepemimpinan PAS negeri untuk memutuskan tindakan yang perlu diambil berhubung suasana hubungan dengan PKR dan DAP negeri.

Ditanya mengapa beliau tidak berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, Hadi berkata beliau terikat dengan program lain yang sudah diatur lebih awal selain kurang sihat.

“Pertama, saya ke Singapura menjadi tetamu Universiti Nanyang untuk temuramah dengan pihak di Singapura dan selepas itu, saya terpaksa dirawat di hospital beberapa hari.

“Hari ini pun (semalam) doktor nasihat saya masuk wad tetapi saya tak masuk, jadi balik nanti saya buat pemeriksaan di hospital lagi,” katanya.

Ini merupakan kenyataan terbaharu Presiden PAS berkenaan PR selepas DAP memutuskan hubungan dengan beliau dalam mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tertinggi DAP, 23 Mac lalu.

Setiausah Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli yang dihubungi untuk mendapat reaksi berhubung kenyataan terbaharu Hadi itu, namun beliau mengambil pendirian untuk ‘mengunci mulut’

Sebaliknya, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR secara sinis memberitahu pemberita untuk menyemak maklumat berkenaan sebelum memberi sebarang kenyataan balas.

“Kalau kami hendak ulas pun, kami akan semak dengan PAS dahulu, bukannya yang dipetik oleh wartawan Berita Harian,” katanya pada sidang media di Yayasan Aman pada Isnin.