“Mari Saya Buktikan Bertapa Manipulatifnya Tony Pua” – Abdul Rahman Dahlan

1. Saya telah terhibur membaca jawapan terdesak Tony Pua terhadap soalan saya berkenaan kengganan kerajaan Pakatan Rakyat/DAP Pulau Pinang meluluskan projek perumahan JKP/PERDA di Pulau Pinang.

2. Mari saya buktikan betapa manipulatifnya Ahli Parlimen DAP ini. Izikan saya untuk memberikan respon kepada beberapa perkara di dalam hujah beliau.

3. Dalam penjelasan tergesa-gesa beliau ketika mempertahankan polisi perumahan Kerajaan PR Penang, Tony Pua secara tidak sengaja telah mengakui bahawa 6,300 unit rumah di bawah projek perumahan JKP/PERDA adalah rumah kos rendah mampu milik.

4. Mari kita anggap angka yang diberikan oleh beliau adalah tepat (kerana perdebatan melibatkan angka ini hanya akan memanjangkan lagi isu ini), makan dengan pengakuan beliau sendiri, jumlah ini meliputi 66% dari keseluruhan 9,500 unit rumah! Peratusan ini jauh lebih tinggi dari apa yang pemaju swasta boleh tawarkan! Persoalan saya adalah, mengapa terlalu sukar kerajaan DAP/PR Pulau Pinang untuk meluluskan projek perumahan persekutuan yang merangkumi 2/3 (66%) dari jumlah keseluruan rumah mampu milik kos rendah? Kenapa mengelak, membazir masa dan mempertikaikan projek ini yang akhirnya akan menyebabkan kelewatan menyiapkan rumah mampu milik yang sangat diperlukan oleh rakyat Pulau Pinang?

5. Tony Pua juga tidak mengulas satu isu penting yang saya bangkitkan dalam kenyataan saya sebelum ini. Pada Disember 2014, satu mesyuarat telah berlangsung antara kerajaan negeri dan JKP/PERDA. Tujuan mesyuarat ini adalah untuk memperhalusi dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat di antara JKP/PERDA dan kerajaan negeri berkenaan dengan projek perumahan persekutuan di Pulau Pinang. Hasil mesyuarat ini, JKP/PERDA telah bersetuju untuk membuat pindaan di dalam kertas cadangan mereka untuk memuatkan permintaan kerajaan negeri pada Januari 2015.

6. Jadi, bolehkan Tony Pua memberitahu kita, mengapa sehingga sekarang ketua-ketua beliau di Pulau Pinang masih lagi belum memberikan sebarang respon kepada pindaan kertas cadangan tersebut sedangkan JKP/PERDA sudah bersetuju untuk mendengar dan memberikan respon?

7. Jika Tony Pua keberatan untuk menjawab, biar saya sahaja yang memberikan jawapan, yang sangat mudah sebenarnya.

8. Setelah menunggu selama 3 tahun, saya boleh simpulkan Tony Pua dan ketua-ketuanya di kerajaan negeri Penang sebenarnya tidak mahu diganggu. Saya fikir mereka sengaja ingin melengah-lengahkan projek tersebut. Mereka akan mencari seribu alasan untuk menggagalkan usaha kerajaan persekutuan untuk membina 6,300 buah rumah tersebut. Sebab itu, 5 bulan telah berlalu (dan masih berjalan) dan masih lagi tiada respon yang konkrit dari kerajaan DAP/PR. Ini sebenarnya hanya permainan politik DAP kan Tony? Mengaku sajalah.

9. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Tony Pua, dengan arahan kerajaan negeri Pulau Pinang, dengan megah memberitahu kewujudan dana negeri berjumlah RM500 juta untuk membina 22,000 rumah mampu milik di Pulau Pinang. Persoalannya sekarang, mana wang tersebut? Dan mana rumah-rumah tersebut? Sepatutnya, dalam masa 3 tahun, sudah tentu kesemua 22,000 rumah itu telah kelihatan.

10. Faktanya, terdapat banyak cerita yang bercanggah berkenaan dengan 22,000 rumah tersebut. Sekilas pandang di internet ke atas isu ini menunjukkan ahli politik DAP/PR sentiasa memberikan laporan status pembangunan yang kabur dan angka statistik yang berbeza-beza.

11. Menariknya, di dalam jawapannya, Tony Pua sebenarnya menipu apabila beliau berkata Kerajaan Pulau Pinang akan membina 22,000 unit rumah tanpa menyebabkan rakyat Pulau Pinang ‘miskin’. Malangnya, beliau terlupa untuk memberitahu rakyat Pulau Pinang yang tidak lama dulu, DAP/PR terpaksa menjual tanah utama tepi laut terakhir di Bayan Mutiara kepada sebuah pemaju swasta ‘kroni’ – di dalam sebuah perjanjian yang sangat meragukan – untuk mengumpul RM500 juta bagi tujuan pembinaan rumah mampu milik. Ramai yang berpendapat tanah Bayan Mutiara itu dapat mencapai harga jualan yang lebih tinggi sekiranya ia dijual di dalam pakej-pakej yang lebih kecil untuk satu tempoh masa berbanding dijual sekaligus sebagai satu lot tanah yang besar. Itu sebenarnya yang mengakibatkan kerugian kepada rakyat Pulau Pinang, Tony!

12. Sehingga sekarang, tiada siapa yang tahu apa yang telah terjadi terhadap RM500 juta itu. Berapa banyak dari RM500 juta telah dibayar kepada kerajaan negeri? Berapa buah rumah yang telah dibina? Bilakah pembinaannya selesai? Dimanakan lokasi rumah itu dibina? Begitu banyak soalan dari rakyat tetapi jawapan dari kerajaan yang kononnya kompeten, bertanggungjawab dan telus sangatlah mengecewakan. Saya desak Tony Pua untuk menjawab persoalan-persoalan ini dan berhenti bermain wayang.

13. Akhir sekali, Tony Pua cuba menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang yang pandai dengan mengatakan tanah-tanah JKP/PERDA diperolehi melalui Akta Pemerolehan Tanah yang mana menurut Tony, hanya untuk “general interest of the community”.

14. Sejak bila pula menyediakan perumahan untuk golongan pertengahan dan pertengahan atas Melayu, Cina dan India yang terdesak di Pulau Pinang (mereka sebenarnya mampu untuk memiliki rumah yang lebih besar tetapi tidak berbuat demikian kerana harga hartanah dan rumah yang melambung tinggi) dikira menentang “general interest of the community”?

15. Bukankah isi rumah ini (suami dan isteri) yang memperolehi pendapatan RM10-15 ribu sebulan, tetapi mempunyai ramai anak dan berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, berhak untuk mendapatkan rumah yang bagus dan sesuai (bilangannya terhad) pada harga mampu milik? Mereka juga rakyat yang membayar cukai dan memerlukan pertolongan kerajaan DAP/PR. Adakah Tony Pua, yang tidak sensitif ini, mahu mencadangkan agar mereka tinggal di rumah kos rendah?

16. Sebelum saya akhiri, saya perasan Tony Pua tidak menyentuh persoalan tanah Batu Kawan yang saya minta beliau untuk jelaskan. Kenapa? kerana kata-kata beliau yang retorik akan terdedah dan logik beliau yang bukan-bukan akan dipecahkan.

17. Tiada keperluan yang mendesak untuk saya bertemu dengan boss anda, Tony. Susah sebenarya untuk bercakap dengan orang yang perasan bagus seperti mereka. Untuk mempercepatkan kelulusan projek ini, saya cadangkan boss anda untuk segera bertemu dengan pengurusan JKP/PERDA. Mereka tahu isu sebenar dan ingin menolong rakyat Pulau Pinang. Di mana anda letakkan hati anda Tony? Dengan rakyat atau kerajaan DAP/PR? Atau sebenarnya anda mempunyai hati atau tidak?

18. Wahai Tony Pua, tolong rakyat Pulau Pinang. Desak boss anda untuk meluluskan projek ini. Berhenti berikan alasan. Sila bangun dari mimpi indah anda selama 7 tahun ini.

Oleh Dato’ Abdul Rahman Dahlan,
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
https://www.facebook.com/rahmandahlan.my/posts/665674673564146