Mengapa Harga Tanah TRX Dijual Lebih Tinggi Kepada Tabung Haji? Mungkin Dengan Sedikit kira-kira, Boleh Membuka Minda Masing-Masing

Ada yang mempertikaikan, mengapa Tabung Haji membeli tanah TRX pada harga yang lebih tinggi daripada yang dibeli 1MDB dari Kerajaan. Mungkin sedikit kira-kira, boleh membuka minda masing-masing.

Andaikan seperti berikut >

Harga belian: RM320 juta

Kos untuk penempatan semula, pampasan, perancangan, pembangunan, pengezonan semula dan pemasaran, infrastruktur (jalan raya, jalan bawah, elektrik, air dan sebagainya) : RM2 bilion (kosnya besar kemungkinan jauh lebih besar)

Sekaligus kos tanah TRX kepada 1MDB : RM2.32 bilion.

Saiz tanah: 70 ekar.

Tanah yang digunakan: 70% atau 49 ekar (kerana sebahagian daripada tanah perlu digunakan untuk jalanraya, kawasan terbuka, fasiliti air dan rawatan air, substesyen elektrik dan sebagainya)

Tanah yang diperuntukkan untuk taman awam: 20 ekar
Tanah yang digunakan selain taman awam: 29 ekar.

Oleh kerana itu, harga bagi setiap kaki persegi tanah TRX yang digunakan: RM2.32 bilion dibahagikan dengan 29 ekar = RM1,837 kaki persegi.

1MDB hanya didanai sebanyak RM1 juta secara tunai dan terpaksa meminjam dari bank. RM1 juta tidak mungkin dapat membayar yuran guaman bagi sesetengah projek hartanah.

Oleh kerana itu, seandainya kerajaan tidak membenarkan 1MDB buat duit daripada aset tanah, bagaimana mereka boleh mencari wang untuk membayar faedah dan pinjaman?

Agak malang kerana pihak asing melihat potensi besar TRX yang dirancang oleh 1MDB dan sanggup meletakkan wang mereka yang jauh lebih besar berbanding Tabung Haji pada harga tinggi yang telah ditetapkan oleh 1MDB sedangkan masyarakat Malaysia yang menganggap mereka lebih bijak pula, bertindak dan berfikiran sebaliknya malahan melihat ianya adalah satu usaha bail-out.

TH Properties melabur dalam SATU hartanah menara kediaman di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik. Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.