Menteri Besar Terengganu Nafi Dakwaan Ahmad Said Mengenai 1MDB TIA Tidak Mempunya Apa-apa Hubungan Dengan 1MDB

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan dakwaan bahawa Terengganu Investment Authority (TIA) yang kini dikenali 1Malaysia Development Berhad (1MDB) cuba mencagar hasil minyak dan gas negeri itu.

“Tiada perkara seperti itu. Ahli Exco tidak akan bersetuju kerana kami juga mempunyai sebuah pasukan pakar untuk menasihati kami dan perkara itu tidak akan berlaku.

“Malah, TIA tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan 1MDB,” kata Ahmad Razif kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, Rabu.

Ahmad Razif mengesahkan bahawa kerajaan negeri pada mulanya merancang untuk melabur dengan TIA dan TIA pada awalnya ditubuhkan sebagai pilihan untuk mempelbagaikan pendapatan negeri itu.

“Ia adalah satu keputusan sebulat suara oleh exco untuk membuat pelaburan dan begitulah caranya TIA ditubuhkan dimana kita melabur RM1 juta pada waktu tersebut,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri juga sebulat suara memutuskan untuk menarik diri selepas menyedari waktu untuk melakukannya tidak sesuai.

“Kami menarik diri kerana tidak mahu menanggung sebarang risiko apabila menyedari kerajaan negeri tidak dapat menguruskan TIA walaupun mereka membuat beberapa keuntungan yang baik.

“Jadi tidak ada isu. Kami tidak kehilangan apa-apa. Tidak ada satu sen pun. Cerita tamat.

“Kami telus dan saya terbuka untuk semua bertindak dengan sewajarnya bagi menangani sebarang salah laku melalui saluran yang betul,” katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendedahkan bahawa TIA cuba mencagar hasil minyak dan gas negeri itu.