Mulia Group, Konglomerat Hartanah Indonesia Bangunkan Signature Tower TRX

Disebalik kontroversi negatif pembelian Tabung Haji bernilai RM188.5 juta, peneraju pembangunan hartanah Indonesia, Mulia Group pantas merebut peluang di mercu pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX), dengan membangunkan Signature Tower.

Pemaju utama TRX, 1 Malaysia Development Board (1MDB) bersama Mulia Group memeterai perjanjian jual beli bagi pembangunan plot berkenaan bernilai RM665 juta.

Melalui satu kenyataan bersama hari ini, pembangunan Signature Tower bakal menjadi mercu utama TRX malah berikutan ketinggian menara itu, ia bakal menjadi tumpuan utama ruang pejabat Gred A di ibukota.

Mulia Group adalah pelabur terkini di TRX selepas sebuah syarikat hartanah dan infrastruktur antarabangsa, Lend Lease International bakal membangunkan ruang gaya hidup LifeStyle Quater bernilai RM8 bilion.

Pelabur lain ialah Veolia Water Technologies, melibatkan pengurusan teknologi air bagi kegunaan TRX.

“Kami mengalukan penyertaan Mulia Group dalam merealisasikan potensi TRX dan pelaburan ini sangat signifikan membuktikan keyakinan pelabur ke Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Real Estate, Datuk Azmar Talib.

Mulia Group, peneraju hartanah komersil utama di Jakart, memaju, memiliki dan menguruskan tujuh bangunan pejabat utama di daerah bisnes utama (CBD) di ibukota Indonesia termasuk bangunan Mulia 1 dan 2.

Wisma Mulia 1 dan 2 diiktiraf sebagai menara tertinggi di Jakarta serta memiliki prestij menempatkan pelbagai syarikat tempatan dan bertaraf antarabangsa di Indonesia.

Kumpulan ini juga membangun serta mengurus hotel antarabangsa, perumahan serta kompleks beli belah.

Wisma Mulia pernah menerima anugerah International Five Star Diamond Award daripada American Academy of Hospitality Sciences pada Jun 2013 mengiktiraf kecemerlangan dalam khidmat hospitaliti, senibina dan rekaan dalaman seluruh dunia.

Wisma Mulia adalah bangunan komersil pertama di Asia dan kedua di dunia selepas Trump Tower di New York yang menerima anugerah antarabangsa ini.

Presiden serta pemilik Mulia Group, Eka Tjandranegara berkata mereka sangat teruja membangunkan Signature Tower ini sebagai mercu tanda terbaru Kuala Lumpur.

“Mulia Group bukan sahaja mahu menjadi sebahagian daripada pembangunan mercu tanda ini malah kami sentiasa berazam untuk merentasi benua ini.

“Kami melihat potensi TRX bagi memajukan peranan Kuala Lumpur sebagai ibukota kewangan dan Tun Razak Exchange ini membantu pertumbuhan serta perlebaran kumpulan. Saya sendiri komited untuk melihat projek ini berjaya, berlandaskan pengalaman kami,” katanya.

Sumber: http://mynation.com.my/konglomerat-hartanah-indonesia-mulia-group-bangunkan-signature-tower-trx/