Pas Akan Keluar PR jika Kumpulan Liberal Kalah Pemilihan Parti. Pas Akan Menjadi Ekstrimis Dan Mengubah Senario Politik Negara – Khalid Samad

Pas akan menjadi ekstremis dan mengubah senario politik negara menjadikan UMNO/BN terus kekal berkuasa.

 


Pas akan ‘berwajah baru’ dan lebih ekstremis sekiranya calon yang dilabelkan golongan liberal kalah dalam pemilihan parti pada Jun ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad berkata, Pas berwajah baru itu akan lebih mirip kepada Ikatan Muslimin Malaysia atau ISMA yang ekstremis.

Katanya, jika kekalahan itu berlaku, Pas akan keluar dari Pakatan Rakyat dan senario politik negara ini akan berubah.

“UMNO/BN yang ketika ini bagaikan telur di hujung tanduk, akan mendapat talian hayat yang baru. Ini kerana ketiadaan saff (barisan) yang bersatu untuk menentangnya.

“Hasil usaha yang bersikap ‘ekstrimis’, UMNO/BN akan kekal berkuasa. Sedangkan ia lebih sukar untuk Pas berkembang di bawah BN kerana disekat dari setiap pelusuk dan yang berlaku sebaliknya di bawah PR,” kata Khalid dalam blognya, khalidsamad.com

Atas sebab itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, golongan yang dilabel liberal mahu mempertahankan Pas bukan kerana janji kepada PKR atau DAP tetapi untuk memperkukuhkan Pas melalui PR yang diperkukuhkan.