Pembelian Tanah Di TRX Adalah Pada Harga Berpatutuan. Mengambil Kira Nisbah Plot Yang Tinggi, Kawasan Tanah Serta Insentif Cukai

Pembelian tanah seluas 0.63 hektar bernilai RM188.5 juta dalam Tun Razak Exchange (TRX) oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) adalah pada harga berpatutan dengan mengambil kira nisbah plot yang tinggi, kawasan tanah serta insentif cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hartanah Zerin, Previndran Singhe berkata, apabila dibangunkan kelak, harga kediaman yang dirancang Tabung Haji berpotensi mencecah RM2,000 untuk setiap kaki persegi bergantung kepada saiz dan kualiti produk.

Beliau yang ditemu bual akhbar perniagaan, The Edge, juga menjelaskan tidak timbul sebarang kebimbangan mengenai pasaran jika Tabung Haji memilih untuk membina kediaman mewah, kerana permintaan terhadap kediaman itu sentiasa ada.

“Saya fikir pasaran berperanan menentukan hasil yang lebih baik (kepada Tabung Haji) tetapi produk (perumahan) mestilah baik merangkumi aspek produk, harga, lokasi serta promosi,” katanya sebagaimana dipetik daripada The Edge hari ini.