Penjelasan Tabung Haji Mengenai Pelaburannya Dalam Pembangunan Tun Razak Exchange

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi penjelasan mengenai pelaburannya dalam pembangunan hartanah bagi pembangunan menara kediaman (“hartanah”) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).

Langkah ini adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik. Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.

Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional.

Cadangan pembangunan kediaman tersebut akan dibangunkan oleh anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd yang dijangka akan memberi pulangan positif kepada Kumpulan TH pada masa hadapan.

Walau bagaimanapun, TH menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH sepertimana yang dilaporkan di dalam blog-blog tertentu. Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut.

TH akan terus meneroka peluang-peluang pelaburan yang seumpamanya di dalam pasaran domestik seperti yang digaris dalam rangkakerja Alokasi Aset Strategik.

Oleh YBhg. Dato’ Johan Abdullah,
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.