Tabung Haji Mengambil Keputusan Menjual Semula Plot Tanah Di Pusat Kewangan TRX Atas Nasihat Perdana Menteri

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dipercayai mengambil keputusan menjual semula plot tanah di pusat kewangan, Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) atas nasihat Perdana Menteri setelah kecewa dengan serangan politik.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, setakat ini terdapat tiga pembeli yang sedia menawarkan pembelian pada unjuran yang menguntungkan.

Jelasnya, urusan penjualan dijangka selesai minggu depan.

”Sekarang, kami meneliti pembeli yang boleh memberi keuntungan kepada Tabung Haji.

“Langkah ini dibuat bagi menghentikan kekhuatiran rakyat dan pendeposit Tabung Haji mengenai pembelian tanah ini yang dikaitkan dengan 1MDB,” katanya.

Katanya, keputusan penjualan itu juga sudah diputuskan dan dipersetujui semua ahli Lembaga Pengarah TH dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Datuk Abdul Azeez, TH juga akan dapat semula 100 peratus wang yang dibayar kepada 1MDB untuk pembelian tanah itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang menjelaskan mengenai pembelian plot tanah seluas 0.63 hektar di TRX dengan nilai RM188.5 juta daripada 1MDB, di sini hari ini.

Penjualan segera ini dijangka tidak akan memberi keuntungan apa-apa berbanding jika Tabung Haji membangunkan sendiri akan mendapat keuntungan sekitar RM100 juta pada masa akan datang.