Tabung Haji, Seperti Syarikat Korporat yang Lain, Mempunyai Satu Set Proses yang Mesti Dipenuhi Sebelum Sebarang Pelaburan Dibenarkan Untuk Dibuat

Saya melihat isu ini dari pandangan orang biasa. Pandangan orang biasa yang sedikit berbeza. Apabila saya mula-mula melihat headlines tersebut, saya bertanya kepada diri sendiri, “Apahal pulak ni?” Tabung Haji mempunyai banyak pelaburan dan sudah melabur dalam pelbagai perkara selain dari tanah 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX).

Bagaimana 1MDB memperolehi tanah itu, pada harga bagaimana atau apa sahaja kita ketepikan kerana itu bukan soalnya. Persoalannya sekarang adalah berkenaan keputusan Tabung Haji untuk mendapatkan tanah tersebut.

Pertama, Tabung Haji atau TH dilaporkan telah berjaya mendapatkan 2 bidang tanah di TRX pada harga RM772 juta. Pada mulanya, Pengerusi TH Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan pembelian tanah ini.

Sehari kemudian, CEO TH, Johan Abdullah mengakui hanya satu plot sahaja yang dibeli, pada harga RM188.5 juta, bukannya dua seperti yang telah dilaporkan. Jadi, TH telah membeli sebidang lagi tanah yang saya rasa dibeli melalui salah sebuah anak syarikatnya.

Soalan yang perlu ditanya disini adalah adakah keputusan untuk membeli tanah tersebut adalah keputusan yang tepat?

TH, seperti syarikat korporat yang lain, mempunyai satu set proses yang mesti dipenuhi sebelum sebarang pelaburan dibenarkan untuk dibuat. Sudah semestinya akan ada sebuah jabatan yang akan menilai sebarang potensi pelaburan dan pembelian.

Mereka hendaklah menyediakan kertas kerja dan bekerjasama dengan rapat dengan jabatan pengurusan risiko yang akan mengenal pasti dan menganalisis risiko yang terlibat. Kertas kerja itu kemudiannya perlu dihantar kepada panel penilai sebelum dihantar ke panel pelaburan, dan pada yang sama, penilaian risiko perlu dihantar kepada jawatankuasa pengurusan risiko.

Panel pelaburan, selepas berpuas hati dengan penilaian pelaburan, kemudiannya akan menghantar kertas tersebut kepada lembaga pengarah, yang akan dinasihat oleh jawatankuasa penilaian risiko sebelum keputusan dicapai.

Walaubagaimanapun, Tabung Haji merupakan badan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ibadah haji dan jemaah haji, mungkin perlu memohon kebenaran menteri yang bertanggungjawab menjaga portfolio Tabung Haji.

Saya bukan mempertahankan sesiapa. Panel pelaburan TH terdiri daripada tujuh orang termasuk seorang Pengerusi dan seorang wakil daripada Bank Negara atau profesional daripada sektor kewangan. Jika ia telah melalui proses dan telah memenuhi semua kriteria, maka mengapa tidak?

Jadi, mengapa kita perlu membuat kecoh mengenai pembelian ini? Adakah kita akan kisah jika tanah tersebut dibeli dari Phuying Gersang Sdn Berhad?

Jika anda percaya terdapat sebarang kejanggalan di dalam proses pembelian ini, laporkan kepada pihak polis supaya pihak berkuasa boleh masuk campur dan menyiasat perkara ini. Tiada guna membuat kecoh ke atas isu yang yang telah melalui proses yang betul dan menepati undang-undang, lebih-lebih lagi jika anda tiada sebarang bukti kukuh.

Tapi anda mungkin boleh menjerit menyalahkan Azeez yang telah silap kata dalam penafiannya, atau ianya dibuat oleh Azeez yang dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan Rosmah. Tapi itu tidak membuktikan apa-apa, bukan?

Adalah memalukan jika pihak pembangkang ingin membuat kecoh ke atas satu perkara seperti ini. Malah lebih memalukan apabila penyokong BN sendiri menolong Pembangkang membuat kecoh.

Seperti yang saya maklumkan, saya tidak mempertahankan sesiapa. Saya cuma tidak suka kepada batu api pemanipulasi.

Capt (f) Rahmat Omar,
http://mynation.com.my/tabung-haji-buys-1mdb-land/