Takkanlah TH Hendak Melabur Kepada Sesuatu yang Berisiko TInggi, Tiada Pulangan Dan Jerat Leher Sendiri?

Sejak semalam, ramai bising-bising akan keputusan Tabung Haji untuk membuat pelaburan strategik membeli hartanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).

Sejak semalam, pelbagai pihak merungut, marah dan mengeluh, malah pelbagai tuduhan dilempar kepada Tabung Haji.

Saya sebagai penyimpan wang dalam Tabung Haji pun bising-bising semalam. Saya faham dan setuju kenapa orang lain bising. Dengan pendapatan tak seberapa, itulah wang yang akan membawa saya dan keluarga untuk menunaikan rukun Islam kelima ini. Insha Allah.

Semasa saya bising-bising tu, yelah, harga RM188.5 juta bukan sikit, lagi pulak saya sendiri tiada kefahaman teknikal mengenai asas pelaburan.

“Sahabat, pertama sekali, untuk kita kekal dalam sektor perniagaan kita perlu melabur tetapi ia mestilah dilakukan dengan teliti, termasuk melakukan kajian feasibiliti.” kata seorang sahabat semalam semasa kami minum di Lebai Dollah semalam. Hangat perbincangan kami.

Saya tak berkenan sangat sahabat saya tu apatah lagi kami sering bertegang leher mengikut kefahaman politik masing-masing. Sahabat saya menggelar saya pejuang parti haluan kiri sementelaah dia penyokong tegar kerajaan.

“Apa ke benda feasibiliti tu?” saya bertanya sebab kadang-kadang cara mereka yang bijak pandai hendak menutup kelemahan mereka, kenyataan berunsur teknikal disampaikan kepada kita hingga kita ternganga.

“Macam ni,” kata sahabat saya memulakan penerangannya.

“Kajian feasibiliti ini mudah. Contohnya, kita nampak ada satu tanah lapang untuk dibina kedai dan apabila kedai itu siap, kita boleh sewakan serta dapat duit daripada situ.

“Tetapi, takkanlah kita nak pilih tanah lapang nun di ceruk dalam hutan untuk buat kedai, betul? Kita nampak tanah yang ada potensi untuk dapat pulangan, kita pun cari siapa pemiliknya dan buka kedai, atau yelah, kita suka sangat dengan stesen minyak, kita buka stesen minyak.

“Itulah kajian feasibiliti. Kita mahu tahu risikonya. Apa risikonya? Contoh, kedudukan tanah. Adakah duit kita keluarkan tu, dapat balik? Berapa dapat balik? Kalau kita beri RM10 dan kita dapat balik RM10, itu bukan berniaga. Tetapi tentu Tabung Haji dah ambil kira soal itu,” jelas sahabat itu.

“Sebab itu, kajian feasibiliti dijalankan – ambil kira lokasi, ambil kira kos, ambil kira adakah ia mampu bagi kita duit. Kalau kajian tak dilakukan, risiko kita tidak tahu.”

“Sama seperti pembelian hartanah lain Tabung Haji, kajian feasibiliti dilakukan terlebih dahulu dan wang RM188.5 juta yang dilaburkan berdasarkan unjuran lokasi dan nilai mengikut pada sumber dalaman Tabung Haji mampu membuahkan pendapatan sekitar RM828 juta berlandaskan nilai kasar pembangunan di kawasan itu. Ia juga mampu melindungi kepentingan Bumiputera di kawasan emas itu.”

Ini bukan pelaburan pertama Tabung Haji meningkatkan pendapatan mereka, kata sahabat ini. http://goo.gl/CqYcX4

“Maka, takkanlah Tabung Haji hendak melabur kepada sesuatu yang berisiko tinggi, tiada pulangan dan jerat leher sendiri?”

“Lagipun, ini tunjukkan orang kita pun pandai berniaga dan kita perlu tanya soalan yang tepat untuk mendapatkan jawapan yang tepat. Kalau kita tidak ambil peluang ini, banyak lagi syarikat hartanah lain di negara ini yang bukan milik orang Melayu akan ambil. Inikan peluang. Peluang yang sudah dinilai risikonya. Dan tidakkah kita lihat, orang kita memiliki hartanah di tempat hartanah yang menjadi tumpuan dan bernilai tinggi?” kata sahabat saya ini.

Tetapi, soal saya, kenapa Tabung Haji ni taknak beritahu kepada penyimpan pasal pembelian ini?

“Beginilah, ada pembelian strategik yang akan diumumkan kemudian, apatah lagi kalau diikutkan Seksyen 4(1), Akta Tabung Haji, lembaga pengarah agensi itu memiliki kuasa untuk menyelaras atau mengendali wang dalam tabung termasuk polisi mengenai pengendaliannya.

“Tetapi mereka jugak tertakluk kepada pelbagai undang-undang sedia ada di negara kita. Tetapi kita perlu tahu, keputusan seumpama ini bukan keputusan seorang diri, tetapi ia dilakukan secara kolektif bersandarkan pelbagai kajian termasuk daripada penilai bebas.”

Adakah kita, soal sahabat saya, mahu Tabung Haji duduk diam apabila peluang datang menjengah? Tengoklah bonus untuk penyimpan pada tahun lepas, RM3.2 billion!

“Inilah kita, baru terdengar, belum memahami, sudah melenting. Kita hanya nampak hakikat, tetapi tidak mahu terima hakiki. Dan tanyalah soalan yang tepat. Jangan tanya soalan untuk jawapan apa yang kita dengar. Setiap pelaburan mesti ada pulangan. Kalau tidak melabur manakan dapat dividennya?” katanya mengakhiri penjelasannya sebelum kami bertukar topik mengenai Ahmad Maslan.

Saya tahu ayat sahabat saya itu menyindir saya tetapi saya balas dengan senyum sebab apa dikatakan memang benar, terutama bonus tahun lepas. Duit saya semakin banyak dalam Tabung Haji.

Kami beredar tanpa wajah kusam. Saya pulang puas kerana dapat memahami. Terima kasih Lebai Dollah.

Tabung haji peruntukkan RM3.2 bilion untuk bonus 2014: https://youtu.be/pbSsDZG0Lgw

Sumber: http://mynation.com.my/kenapa-tabung-haji-buat-macam-ni/