Teresa Kok Dikecam Kerana Menolak Cadangan Wakil Rakyat Perlu Memiliki Kepujian Dalam Bahasa Melayu

Kenyataan Teresa Kok menolak cadangan wakil rakyat untuk memiliki kepujian dalam Bahasa Melayu dilihat sebagai satu pandangan yang tidak patriotik oleh orang ramai termasuk penyokong pembangkang.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dibidas oleh pengguna laman sosial apabila beliau enggan menyokong cadangan bahawa wakil rakyat perlu mempunyai sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Malaysia dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beberapa pengguna laman sosial bertindak memberi amaran kepada ahli DAP itu supaya berfikiran waras kerana sebagai rakyat Malaysia adalah menjadi keutamaan untuk bercakap menggunakan bahasa kebangsaan yakni, Bahasa Melayu.

Seorang pengguna Facebook , Andress Naidoo berkata, walaupun menyokong pembangkang tetapi kata-kata Teresa Kok dikatakan lebih teruk daripada Maslan (Datuk Ahmad Maslan).

“Apabila China dan negara asing yang lain seperti Jepun menjadikan bahasa kebangsaan mereka wajib mengapa tidak kita? Kebanggaan negara iaitu bahasa kebangsaan. Tolong jangan berlagak seperti Caucasian la wei Theresa,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Chew Leong Choon pula menyatakan dukacita apabila rakyat Malaysia tidak boleh bercakap menggunakan bahasa kebangsaan.

“Saya menyokong Pakatan, tetapi aduan ini membuatkan anda kelihatan buruk,” kata Peter Chong.

Ada juga yang menyindir Teresa Kok bahawa jika pendatang asing boleh fasih berbahasa Melayu dalam jangka masa beberapa bulan, mengapa tidak rakyat Malaysia itu sendiri.

Bagi yang menyokong Teresa Kok pula, mereka berhujah bahasa tidak harus menyekat kemampuan berpolitik dan berkhidmat untuk rakyat.

Teresa Kok dalam dalam satu kenyataan media sebelum ini, berkata cadangan mewajibkan calon memiliki kepujian Bahasa Melayu dalam SPM itu sebagai tidak praktikal, tidak penting dan tidak boleh diterima.

Dia memberi beberapa sebab termasuk boleh menghalang seseorang yang mengimpikan untuk berkhidmat untuk negara.

“Walaupun kita punyai wakil rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dalam menyampaikan mesej,” ujar Teresa Kok.

Sumber: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/05/06/teresa-kok-dikritik-kerana-bahasa-melayu/