Tiada Ceramah Hadi Awang Di Permatang Pauh

Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menghadiri ceramah perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Kompleks Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang, Pulau Pinang, Rabu ini.

Pengendali laman Facebook rasmi Presiden Pas itu mengesahkan, pos­ter tentang ceramah berkenaan seper­ti yang disebarkan kepada orang ramai sebelum ini adalah palsu.

“Dimaklumkan bahawa poster ini adalah palsu, Presiden mempunyai komitmen lain pada tarikh tersebut.

“Kami amat kesal dengan sebar­an yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya melalui laman Facebook tersebut hari ini.

Dalam poster berkenaan, Abdul Hadi dijadualkan untuk menyampaikan ceramah anjuran jentera pe- nerangan PRK Parlimen Permatang Pauh pada pukul 9 malam, 6 Mei ini.

Difahamkan, setakat ini, beliau belum pernah menghadiri sebarang aktiviti kempen anjuran pakatan pembangkang bagi PRK Parli­men Permatang Pauh sejak hari pe­namaan calon pada 25 April lalu.

Tindak-tanduk Abdul Hadi itu mencetuskan persoalan lebih-lebih lagi apabila Dewan Pemuda Pas Pu­lau Pinang pada mulanya enggan membantu kempen calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Walau bagaimanapun, pada 29 April lalu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd. Yusni Md. Piah mengubah pendirian dan akur dengan arahan Pas Pusat yang menggesa jentera parti itu membantu kempen PKR.

Krisis antara akar umbi Pas dan PKR di Pulau Pinang tercetus setelah Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri itu mengkritik komitmen Abdul Hadi dalam pelaksanaan hudud di Kelantan.

Sehingga kini, AMK Pulau Pinang masih enggan tunduk kepada desakan akar umbi Pas agar mereka meminta maaf di atas perbuatan biadab mempersoalkan kewibawaan Abdul Hadi itu