TKO Menanti Kumpulan Pas Pro-Pakatan

Menjelang tengah malam nanti pencalonan bagi pemilihan PAS tahun ini akan ditutup dan calon layak bertanding akan berdepan cabaran sebenar dalam muktamar di Kuala Selangor Jun ini.

Pertarungan sebenar, sejak 2009, menyaksikan pertembungan jelas antara kumpulan pro-Pakatan Rakyat yang mengutamakan agenda merampas Putrajaya dan kelompok berbeza pandangan proulama.

Kumpulan kedua dilihat lebih mementingkan agenda Islam PAS, termasuk perkara kontroversi walaupun kurang strategik daripada aspek politik.

Dalam pemilihan kali ini, kumpulan pro-Pakatan dilihat melalui tugas sukar berdepan kumpulan proulama, yang mencuri perhatian perwakilan dengan wajah “kepimpinan ulama” yang mahu digilap semula.

Bahkan, kali ini, asakan mereka bermula daripada peringkat akar umbi lagi apabila seorang demi seorang calon pro-Pakatan berjaya dicantas daripada bawah.

Antara “singa” yang berjaya dijinakkan kumpulan proulama termasuk bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar atas, kanan).

Walaupun mengetuai PAS Kampar selama 14 tahun, Nizar akhirnya tewas dalam pertandingkan yang dipertua kawasan kepada ulama setempat yang kurang dikenali Mohd Sofian Rejab

Sementara itu, kawalan proulama di peringkat akar umbi pula memberikan kelebihan kepada golongan ini dalam keadaan corak “pengundian blok” di peringkat kawasan.

 


KUNCI G5 PADA YDP



Bermaksud, lima undi daripada sebuah kawasan PAS (dirujuk G5) ditentukan oleh kecenderungannya ketuanya di peringkat bawah.

Tidak hairanlah kini budaya “chai” (pengedaran senarai kumpulan) dilihat pengamat politik PAS bakal memainkan peranan penting kali ini.

“Trend pencalonan diberikan kepada proulama. Mereka memberi undi berdasarkan blok. Ini trend baru yang sebelum ini tak ketara sangat sebelum ini.

“Kita nampak akan mengundi (pemimpin dari) satu kumpulan. Ada senarainya.

“(Kumpulan) progresif bakal maut dengan pukulan TKO (pukulan maut),” kata seorang pemerhati politik dalaman PAS kepada Malaysiakini.

Kumpulan proulama juga dilihat mempunyai gerak kerja lebih tersusun ketika pemilihan kali ini dikatakan antara yang paling kotor dalam sejarah PAS.

Kumpulan proulama dilihat memanfaatkan sebaiknya program parti bagi tujuan kempen, antaranya Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Marang dan Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) di Padang Merbok, Kuala Lumpur awal bulan ini.

Malah, kempen melalui siri multaqa (konvensyen) ulama PAS peringkat nasional dan negeri juga dilihat memainkan peranan ke arah melebarkan “kepimpinan ulama” melalui resolusi untuk mengukuhkan kepimpinan golongan itu.


ASAKAN ‘MAKAN DIRI’ DAP


Di media sosial juga begitu, selain beberapa pemimpin progresif yang lantang mengkritik kepimpinan presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, mereka terus ketinggalan dalam perang saraf di Internet.

“Tak ada kepimpinan. Tak ada visi (setakat ini). Ahmad Awang dilihat berseorangan, tetapi kumpulan progresif tidak dilihat bersama.

“Mereka hanya tunggu untuk dipukul habis-habisan. Kita tunggu dan lihat,” kata sumber lagi.

Sementara itu, daripada aspek luaran pula, serangan bertubi-tubi DAP terhadap Hadi dilihat tidak sedikit pun melemahkan penguasaan kumpulan proulama, mahupun kepimpinan anggota Parlimen Marang itu.

Walaupun Hadi berdepan kritikan paling lantang sejak 13 tahun menerajui PAS, asakan berlebihan daripada luar hanya mengundang kebimbangan dalaman terhadap maruah parti Islam itu daripada diperkotak-katikkan oleh DAP.

Malah, ia menyebabkan kumpulan pro-Pakatan tersepit. Ia sekali gus membantutkan asakan supaya dilihat ‘patriotik’ dan tidak dituduh bersekongkol dengan DAP – yang mempunyai masalah serius terhadap dasar-dasar Islam PAS sejak dahulu lagi.

Akhirnya, undi simpati terus memberikan kelebihan kepada Hadi. Ini ditambah lagi dengan faktor kesihatan Hadi yang merosot akhir-akhir ini.

Ini tergambar daripada jumlah pencalonan diterima Hadi yang masih utuh, walaupun tokoh ulama PAS Ahmad Awang digembur-gemburkan sejak sekian lama mampu membuat kejutan.

Malah, ketika Hadi memberi alasan kesihatan apabila gagal hadir ke mesyuarat Pakatan sebelum ini, DAP masih terus mengasaknya dengan menggesa Hadi tidak lagi ponteng demi melicinkan perjalanan Pakatan.

Bagaimanapun, faktor ini ditolak oleh kumpulan pro-Pakatan yang melihatnya pemilihan kali ini semata-mata pertembungan jalur fikrah berbeza dalam PAS.

http://www.malaysiakini.com/news/296922