Malaysia Tidak Akan Meterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Di Hawaii

Malaysia tidak akan menandatangani sebarang perjanjian berkaitan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dalam mesyuarat peringkat menteri TPP di Hawaii, Amerika Syarikat, yang berlangsung empat hari, berakhir Jumaat ini.

Menerusi kenyataan media, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mesyuarat itu adalah untuk membuat kesimpulan selepas mengadakan rundingan sejak lima tahun lalu.

“Seperti Malaysia, setiap ahli TTP akan melalui proses sendiri sebelum membuat keputusan untuk menandatangani TPP,” katanya.

Mustapa berkata, sebagai menteri bertanggungjawab dalam rundingan TPP, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan perlembagaan, kedaulatan dan teras dasar negara termasuk kepentingan golongan Bumiputera dilindungi.

“Objektif kami dalam mesyuarat ini untuk memastikan kepentingan dan kebimbangan Malaysia ditangani dalam rundingan,” katanya.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun lalu, pihaknya sudah mengadakan lebih 100 pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk meningkatkan kefahaman awam mengenai TPP.

“Antara yang terlibat termasuklah ahli parlimen, kumpulan industri, ahli akademik, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan,” katanya.

Menurutnya, beliau juga secara peribadi bertemu dan membincangkan TPP dengan ramai pengkritik terkemuka.

Katanya, terdapat enam kebimbangan utama orang ramai terhadap TPP melibatkan soal kedaulatan, perolehan kerajaan, kawalan modal, ubat-ubat-ubatan, akses pasaran, Islam dan kerahsiaan.

Mengulas mengenai kebimbangan orang ramai terhadap kedaulatan Malaysia jika TPP dimeterai, beliau berkata, TPP tidak akan menghalang kerajaan daripada mengawal selia objektif dasar awam yang sah terutama dalam bidang seperti keselamatan negara, persekitaran kesihatan awam dan kebajikan.

“Penting untuk kami ambil perhatian terhadap 74 perjanjian pelaburan dua hala (BIT) dan lapan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang mengandungi peruntukan mekanisme Penyelesaian Pertikaian Negeri Pelabur (ISDS).

“Walaupun skop ISDS dalam TPP adalah lebih luas, terdapat peruntukan jelas yang mengesahkan hak-hak kerajaan untuk mengawal dan membendung cabaran serta tuntutan yang remeh,” katanya.

Sebelum keputusan dibuat, Mustapa berkata, dokumen akhir perjanjian itu bersama-sama kedua-dua kos dan faedah analisis akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

“Keputusan sama ada (Malaysia) akan menandatangani atau menolak TPP akan menjadi keputusan kolektif. Saya menyeru semua rakyat Malaysia supaya bersikap terbuka dalam TPP sementara rundingan dijalankan,” katanya.