Masih Terlalu Awal Untuk Buat Kesimpulan Berhubung Penemuan Serpihan Badan Pesawat Yang Dikaitkan Dengan Kehilangan MH370

Masih terlalu awal untuk kesimpulan berhubung penemuan serpihan badan pesawat yang dikaitkan dengan kehilangan pesawat MH370.

Kementerian Pengangkutan menerusi sebuah kenyataan berkata, siasatan akan dijalankan oleh pasukan siasatan yang dikerah ke lokasi penemuan serpihan di Pulau La Reunion dan keputusan akan diperoleh secepat mungkin.

“Kami ingin menyatakan bahawa sehingga terdapat bukti nyata dan tidak dapat disangkal bahawa serpihan tersebut milik pesawat yang hilang (MH370), ini masih merupakan masa yang terlalu awal untuk membuat spekulasi.

“Ini untuk memastikan kami tidak memberi harapan palsu kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa MH370. Kami akan membuat pengumuman sekiranya memerlukan pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Pihak kementerian dalam pada itu turut mengesahkan keberangkatan pasukan penyiasat negara ke pulau terbabit untuk menyiasat serpihan tersebut.

“Satu pasukan yang terdiri daripada pakar dari Jabatan Penerbangan Awam, Malaysia Airlines dan ICAO Annex 13 dan Pasukan Siasatan Keselamatan Malaysia MH370 telah dihantar ke Pulau La Reunion untuk mengesahkan sama ada serpihan itu adalah milik pesawat yang hilang itu,” katanya lagi.