Nasihat Buat Isteri YB PAS Yang Mahu Lompat

ISU bai’ah yang berserta dengan taklik cerai talak tiga antara topik paling hangat dalam membicarakan keretakan terbesar dalam sejarah Pas.

Ini kerana calon-calon parti itu yang bertanding pada pilihan raya lalu dikatakan telah berbai’ah dengan ‘mencagarkan’ rumah tangga mereka iaitu jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing seandainya melompat parti atau meninggalkan Pas setelah menang pilihan raya.

Isunya, Pas kini berhadapan dengan perpecahan serius.

Beberapa wakil rakyat Pas kini difahamkan berkira-kira hendak melakukan lompatan terbesar dalam karier politik mereka, meninggalkan Pas untuk menyertai sebuah parti baharu yang masih dalam proses pendaftaran, Gerakan Harapan Baru.

Mereka bagaimanapun enggan melepaskan jawatan wakil rakyat seperti yang didesak oleh pemimpin-pemimpin parti itu. Untuk lebih jelas mengenai apa itu bai’ah dalam Pas, baca temubual dengan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, DATUK DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH.

1) MINTA USTAZ TERANGKAN MENGENAI BAI’AH DALAM PAS?

Bai’ah dalam Pas adalah sebagaimana yang terdapat dalam bai’ah dalam fiqh al Islam. Dalam sirah Nabi Muhammad SAW, Rasulullah menyatakan mengenai bai’ah antara bai’ahnya adalah Bai’ah An Nisa’, Bai’ah Ridhaaun, aai’ah aqabah dan banyak lagi bai’ah-bai’ah lain yang dilaksanakan oleh Rasulullah dengan tujuan supaya umat Islam terikat dengan dasar-dasar yang diperjuangkan oleh Islam dan umat Islam terikat dengan peraturan yang ditetapkan oleh Rasulullah walaupun peraturannya adalah sangat mencabar.

Jadi kita sebagai parti Islam mengambil semangat daripada sirah ini untuk dilaksanakan dalam parti. Pas sangat berpengalaman dalam dunia politik di negara ini dan berhadapan dengan bermacam-macam dugaan, jadi kita ambil kaedah bai’ah ini supaya kita tahan menghadapi ujian, sama ada ujian dalam bentuk dalaman dan luaran. Sebab itu, bai’ah yang kita perkenalkan ini adalah salah satu sunah yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Dalam konteks Pas, bai’ah ada dua, pertama bai’ah kepada ahli umum iaitu apabila mereka mengisi borang (keahlian) Pas. Bagaimanapun itu kita tidak kita namakan ia sebagai bai’ah (tetapi sebagai ahli) mereka telah mengaku untuk duduk dalam Pas menegakkan syariat ALLAH.

Bagi peringkat kepimpinan pula, dalam konteks politik negara kita yang cukup mencabar, maka kita perkenalkan bai’ah kepada calon yang akan bertanding pilihan raya. Isu beli calon, isu lompat parti, isu khianat kepada parti (jadi cabaran bagi kita), jadi kita dalam Pas mahu parti Islam berbeza dengan parti-parti lain, maka kita mengambil inti pati dalam sunah kemudian kita laksanakan dalam parti kita.

Kita buat bai’ah untuk ikat calon biar dia istiqamah dengan perjuangan Islam kerana metod perjuangan Islam adalah satu perjuangan yang sangat banyak ujian. Apabila kita ikat dengan bai’ah, dia ada ketahanan. Sebelum bertindak, dia akan ingat pada janji dia dengan parti atau janji dia dengan bai’ah yang dilafazkan sebelum masuk bertanding dalam pilihan raya.

2) KANDUNGAN BAI’AH ITU BAGAIMANA?

Untuk ahli, kita tidak namakan bai’ah pada umumnya tetapi apabila dia mengisi borang keahlian Pas, maka dia memahami janji dia dengan Pas untuk mentaati segala peraturan yang ada.

Kita kaitkan perkara ini dengan nama ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW, maka apabila satu perjanjian dikaitkan dengan nama ALLAH dan rasul, maka perjanjian itu kita namakan sebagai bai’ah iaitu bai’ah antara manusia dengan ALLAH SWT.

Ada pun bai’ah membabitkan calon-calon yang bertanding perlu saya jelaskan bahawa, pertama kita beri pilihan kepada orang yang mahu bertanding atas tiket Pas.

Kalau dia mahu bertanding atas tiket Pas, kita beritahu dalam Pas i ada bai’ah, jadi dia kena patuh. Tetapi kalau tidak mahu kepada bai’ah, maka dia tidak perlu bertanding atas tiket Pas.

Dia boleh bertanding atas tiket mana-mana parti lain. Jadi sebab itu, isu melanggar bai’ah adalah satu isu yang besar kerana bai’ah adalah pilihan untuk calon, bukan paksaan parti.

Apabila seseorang itu memilih untuk jadi calon dan berbai’ah, maka dia kena akur bahawa bai’ah adalah janji dia dengan ALLAH SWT yang paling besar, janji dia dengan Rasulullah, janji dengan para malaikat, janji dia dengan kepimpinan dalam parti dan seluruh pengikut yang ada dalam Pas.

3) APAKAH ADA PANDUAN TETAP BAI’AH DALAM PAS?

Dalam Pas, Majlis Syura Ulamak putuskan bahawa bai’ah adalah satu lafaz. Cuma kita dapati ada negeri yang menambahkan lafaz. Jadi bagi Majlis Syura Ulamak, kita tidak menghalang apa yang mahu ditambah kerana kalau kita lihat dalam bai’ah Rasulullah berbeza Bai’ah Aqabah dengan Bai’ah Ridhuan.

Apabila kita meletakkan sesuatu lafaz, maka lafaz itu diguna pakai oleh semua calon wakil rakyat dan hampir semua negeri kecuali saya difahamkan di Kelantan ditambah sedikit dalam lafaz bai’ah.

Kita dalam Majlis Syura Ulamak tidak menghalang tetapi lafaz yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak adalah lafaz yang jelas.

Inti patinya supaya wakil-wakil rakyat tidak mengkhianati parti, amanah dan mengikat bai’ah dengan bersumpah atas nama ALLAH, Nabi Muhammad SAW, malaikat dan sekiranya ia dilanggar, maka mereka akan dilaknat oleh ALLAH, para malaikat dan sekalian makhluk yang boleh melaknat.

Bai’ah ini berbeza dengan qasam (bersumpah atas nama ALLAH) yang boleh kita kafarah. Adapun perkara yang membabitkan bai’ah iaitu janji kita dengan masyarakat umum, di mana mereka beri amanah kepada kita maka kita mengadakan bai’ah sebagaimana Rasulullah mahu melakukan sesuatu yang besar pembukaan Kota Suci Makkah, Rasulullah berbai’ah yang dipanggil Bai’ah Ridhuan dan ia berbeza dengan Bai’ah An Nisa’ dan Bai’ah Aqabah dan sebagainya. Sebab itu bai’ah itu berbeza dengan qasam.

4) SEJAK BILA BAI’AH CALON PAS DIPERKENALKAN?

Saya kurang ingat bila Pas mulakan bai’ah kepada calon wakil rakyat tetapi kalau ditelusuri perjuangan Pas, kita dapat lihat perkembangan yang positif.

Masa mula Pas ditubuhkan, belum ada bai’ah kerana ujian ketika itu tidak besar dan orang yang bertanding atas tiket Pas waktu itu tidak bercakap tentang menang kerana tujuan bertanding hanya untuk tidak beri peluang kepada Umno menang percuma.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/wawancara/nasihat-untuk-isteri-yb-pas-yang-mahu-lompat-1.414123