Penamatan Khidmat Gani Patail Sebagai Peguam Negara Mengikut Perlembagaan. Beliau Tidak Pernah Dipecat & Diturunkan Pangkat Dalam Khidmat Kehakiman Perundangan

Peguam Negara (AG) yang baharu dilantik, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, penamatan khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan yang tidak memerlukan sebuah tribunal bagi menentukan perkhidmatannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamed Apandi berkata, artikel dalam perlembagaan yang memerlukan tribunal bagi penamatan khidmat AG telah digantikan dengan klausa baharu di bawah Akta (Pindaan) Perlembagaan dan berkuatkuasa pada 16 September 1963.

“Di bawah Fasal (5) Perkara 145 sedia ada, peguam negara memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong,” kata Apandi.

“Oleh itu cara penyingkiran yang dirujuk dalam klausa 6 Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kepada peguam negara yang dilantik selepas 16 September 1963.

“Demi kepentingan pentadbiran keadilan, adalah perlu bagi orang awam tidak dikelirukan hingga menganggap keadaan sebaliknya,” katanya.

“Walau apapun, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak pernah dipecat atau diturunkan pangkat dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” kata beliau.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sr Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan berkata khidmat Abdul Gani selaku Peguam Negara telah ditamatkan berkuatkuasa 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan.penamatan-khidmat-gani-patail-sebagai-peguam-negara-mengikut-perlembagaan-beliau-tidak-pernah-dipecat-diturunkan-pangkat-dalam-khidmat-kehakiman-perundangan/