Penemuan Serpihan Dipercayai Dari Pesawat MH370 Yang Hilang

Serpihan yang didakwa milik Pesawat MAS MH370 ditemui di Lautan Hindi, mengikut laporan The Telegraph.

Xavier Tytelman, bekas juruterbang tentera yang juga pakar keselamatan penerbangan menerima panggilan dari lelaki tempatan yang tinggal di Pulau Reunion, Perancis pada pagi Rabu, yang kemudiannya menghantar beberapa foto serpihan kapal terbang yang dijumpai.

Setelah mengkaji ratusan foto dan berbincang dengan beberapa rakan, Xavier percaya bahawa serpihan sayap yang ditemui itu adalah milik Boeing 777, sama seperti pesawat MH370 yang hilang.

Mengikut siasatan awal polis tempatan, serpihan tersebut dipercayai sudah berada di dalam laut sekitar 1 tahun, jangkamasa yang sama dengan kehilangan MH370.

MH370 hilang bersama 239 anak kapal dan masih menjadi misteri kepada penyiasat dan juga keluarga mangsa sehingga kini. Pelbagai teori wujud berikutan kehilangannnya yang misteri, termasuklah dakwaan pesawat tersebut telah mendarat di Diego Garcia, atau terbang ke Korea Utara.

Mengikut Xavier, Lautan Hindi merupakan kawasan yang berkemungkinan besar untuk laluan pesawat terbabit. Masih belum dapat dipastikan lagi, namun Xavier percaya dan tidak menolak kemungkinan bahawa serpihan tersebut adalah milik MH370.

Apa yang menjadi persoalan hangat di kalangan mereka yang melihat foto-foto berkenaan adalah kod yang ada pada serpihan sayap tersebut, iaitu BB670. Mengikut Xavier, nombor berkenaan tidak merujuk kepada nombor plat pesawat, atau nombor siri jentera.

Jika benar serpihan tersebut milik MH370, maka kod tersebut pastinya dapat membantu dalam proses mengenalpasti. Mengikut Xavier, dalam beberapa hari sementara penyiasatan dijalankan, jawapan yang sahih tentang penemuan ini akan diperolehi.