“Ada Komplot Mahu Gulingkan Kerajaan Melalui ‘Pintu Belakang’ Dan Didalangi Tokoh Besar Umno Sendiri” – Ahmad Zahir Hamidi

Seorang tokoh besar UMNO dikenal pasti sebagai dalang utama kepada gerakan menggulingkan kerajaan melalui cara tidak demokratik iaitu menerusi undi tidak percaya di Parlimen dengan sokongan ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihak berkuasa berjaya mengesan segala tindak-tanduk kumpulan terbabit yang ketika ini sedang dalam proses menyiapkan akuan bersumpah (SD).

Ahmad Zahid seterusnya memberi peringatan kepada kumpulan terbabit selagi beliau Menteri Dalam Negeri, sebarang usaha menggulingkan kerajaan melalui ‘pintu belakang’ tidak dibenarkan sama sekali kerana rakyat sudah memilih kerajaan yang sah.

“Saya dapat maklumat ada usaha mahu gulingkan kerajaan didalangi tokoh UMNO sendiri. Terdapat usaha mendapatkan SD ahli Parlimen pembangkang dan (usaha) menarik ahli parlimen Barisan Nasional (BN) supaya menumbangkan kerajaan melalui ‘pintu belakang’.

“Peguam mereka sedang menyediakan memorandum setebal tujuh muka surat dengan kertas berwarna kuning dilampirkan dengan akuan bersumpah untuk dibentangkan (mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen) menyatakan mereka mempunyai suara majoriti.

“Ini sesuatu yang serius. Saya tidak mahu menyebut nama orang itu, tetapi ini berlaku. Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, saya tidak akan membenarkan ia berlaku,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ampang di sini hari ini.

“Mereka ini sudah tidak boleh tunggu hingga pilihan raya umum akan datang. Mereka mahu masuk ikut pintu belakang. Mereka ini bukan saja tikam parti dari belakang, tetapi mereka memusnahkan institusi demokrasi negara kita,” katanya.