Adun Selangor Suarakan Kebimbangan Kewujudan Darul Ehsan Investment Group (DEIG)

Anggota- anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor hari ini melahirkan kebimbangan mereka terhadap kewujudan entiti baru, Darul Ehsan Investment Group (DEIG), yang akan menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Panjang) berkata ini kerana DEIG yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat pada Disember tahun lepas tidak memerlukannya diaudit dan melaporkan prestasi serta kewangan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

” Ia berbeza dengan MBI yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pemerbadanan Menteri Besar 1994 yang memerlukannya melaporkan prestasi serta kewangan kepada DUN. Jika Menteri Besar (Mohamed Azmin Ali) berhasrat nak struktur semula anak-anak syarikat di bawah MBI, lebih baik struktur semula MBI bukan wujudkan DEIG. “Saya lebih bimbang apabila DEIG boleh buat pinjaman dan jika tidak diurus dengan sempurna boleh jejaskan aset pelaburan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di lobi DUN di sini, Selasa.

Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) pula mencadangkan isu DEIG dibawa ke sidang DUN untuk dibahas dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya.

Beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan satu enakmen yang boleh mengikat serta mengawal DEIG dari segi akauntabiliti.

“Ini untuk memastikan perjalanan syarikat melibatkan pelaburan (di bawah pengurusan DEIG) dipantau, disemak dan diimbang bagi benar-benar memberi faedah dan menguntungkan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, dua ADUN daripada DAP turut mempertikai penubuhan DEIG dan meminta Mohamed Azmin menjelaskan objektif penubuhan entiti berkenaan.

Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) berkata penubuhan DEIG yang didakwa tidak dikawal oleh mana-mana enakmen kerajaan negeri dilihat ‘kurang bertanggungjawab’ oleh DUN berkenaan.

“Kita percaya mekanisme dan akauntabiliti penubuhan (DEIG) tidak lengkap dan tidak komprehensif. Oleh itu, diharapkan persidangan esok dapat membincangkan mengenai perkara ini dan mendapat penjelasan sebenar mengenainya,” katanya.

ADUN Kinrara Ng Zhee Han pula berkata kerajaan negeri sepatutnya membuat penelitian lanjut mengenai DEIG kerana fungsi penubuhannya dilihat sama dengan MBI.

Abdul Khalid (Bebas-Pelabuhan Klang) turut mempertikaikan kewujudan DEIG yang ditubuhkan tanpa sebarang enakmen dan tidak mempunyai kelulusan DUN Selangor.

“DUN Selangor tidak akan dapat memantau dan mengetahui aktiviti yang dijalankan oleh DEIG sebagai intermediary (perantara). Adakah tatacara (penubuhan DEIG) ini dikira dengan baik?

“Walaupun di bawah MBI, jika syarikat ini menandatangani perjanjian atau mengadakan usahasama, risiko pelaburan itu tidak akan hilang dan akan kembali semula kepada MBI dan kerajaan negeri,” soalnya.