Ahmad Wrestler : Polis Thai Tolak Permintaan PDRM Untuk Jumpa Justo?

Akhbar Bangkok Post melaporkan Polis Thailand menolak permintaan Ketua Polis Negara, IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengadakan pertemuan dengan bekas kakitangan PetroSaudi International (PetroSaudi) Xavier Andre Justo.

Keputusan menolak permohonan itu diambil oleh Ketua Polis Thailand Somyot Poompunmuang ketika mesyuarat di Pejabat Diraja Thai.

Beliau menasihatkan Khalid supaya menggunakan saluran yang betul dengan membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan maklumat berkaitan siasatan Justo.

Mesyuarat yang diadakan semalam adalah sebagai cubaan kedua Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mendapatkan akses kepada Justo sejak beliau ditahan pada bulan lalu.

Cubaan pertama telah dilakukan pada 16 Julai di mana diplomat serta polis Kedutaan Malaysia di Bangkok juga memberikan jawapan yang sama.

Sebelum ini Justo yang bekerja dengan Petro Saudi International, didakwa mencuri dokumen rahsia berkaitan dengan dana dan urus niaga antarabangsa.

Polis hanya boleh melakukan siasatan terhadap Justo selepas beliau didakwa di Mahkamah Thailand.

Khalid yang baru sahaja kembali ke Malaysia berkata, polis akan berbincang dengan Peguam Negara bagi mendapatkan akses kenyataan yang direkodkan Justo.

Beliau sebelum ini menyatakan bahawa anggota pasukan khas 10 Bukit Aman telah berkumpul bagi menyiasat Justo dan perlu menunggu kebenaran oleh pihak polis Thailand.