Ahmad Wrestler : The Edge Digantung Lesen 3 Bulan!

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan 3 sebab penggantungan permit penerbitan akhbar harian The Edge dan The Edge Financial Daily untuk tempoh 3 bulan bermula 27 Julai ini.

Pertama, tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.

Kedua, laporan yang diterbitkan turut bersumberkan maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh/mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara.

Ketiga, isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak wajar pemberitaan yang boleh menimbulkan persepsi negatif yang dilakukan secara berterusan dan ia adalah tidak adil kepada syarikat 1MDB seterusnya kepada kerajaan dan kepada kepimpinan negara.