Ambiga Burukkan Negara Dalam The New York Times Tapi Langsung Tidak Kemukakan Bukti & Menutup Kebenaran Fakta

Selepas memburukkan pemimpin dan kerajaan di dalam negara, bekas pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan kini mengembangkan `pembohongannya’ ke luar negara iaitu dengan menulis di dalam media asing yang terkenal kerana suka memutar belit, The New York Times.

Dalam tulisannya yang bertajuk Malaysia’s Many Scandals yang disiarkan pada 20 Ogos lalu, beliau memburukkan sistem pilihan raya negara, kononnya SPR telah memanupulasikan pilihan raya demi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN).

Ambiga mempertikaikan kononnya berlaku skim pembelian undi di timur Sabah di mana katanya, pihak berkuasa memberikan berpuluh ribu kad pengenalan kepada pendatang haram untuk membolehkan mereka mengundi menyokong Barisan Nasional. Tetapi tiada bukti dikemukakan oleh beliau. Kenapa? Kerana itu hanya pembohongan, sudah pasti tidak boleh mencari buktinya.

Apa yang lebih menarik, dalam artikelnya itu, Ambiga langsung tidak menyebut mengenai tiga negeri yang ditadbir oleh pembangkang iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan selepas mereka merampasnya daripada BN.

Mungkin Ambiga takut jika fakta berkenaan ditulisnya, sudah pasti laporannya itu akan dipertikaikan.

Tidak mungkin pembangkang dapat menguasai tiga negeri jika SPR melakukan penipuan dan memanupulasi pilihan raya yang dijalankan sebelum ini.

Jika betul SPR menipu, kenapa perlu memberikan tiga negeri ini kepada pembangkang? Beliau cuba memperbodohkan ramai dengan tulisan berat sebelah itu dan menutup kebenaran fakta yang ada.

Ambiga turut memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mengaitkan beliau dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemberian derma oleh negara Timur Tengah berjumlah RM2.6 bilion.

Beliau memetik laporan Sarawak Report (SR) serta The Wall Street Journal mengenai 1MDB dan derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, yang sebelum ini sudah disahkan sebagai bukan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ambiga memetik laporan Sarawak Report dan WSJ mengenai fitnah terbabit tetapi tidak pula menjelaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengekstradisi Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown ke Malaysia bagi siasatan susulan laporan kandungan portal itu yang berunsurkan fitnah dan boleh mengganggu gugat kestabilan negara.

Beliau tidak pula menyebut mengenai Xavier Andre Justo yang telah didapati bersalah dan dihukum penjara selama tiga tahun di Thailand kerana mencuri dokumen daripada bekas majikannya PetroSaudi International.

Ambiga tidak mengulas bagaimana dokumen itu telah dicuri dan kemudiannya dijual kepada pihak tertentu dan seterusnya diubahsuai dan disiarkan sebagai fitnah terhadap 1MDB serta Perdana Menteri.

Tidak terkecuali fitnah daripada WSJ. Perdana Menteri telah mengarahkan peguamnya untuk mendapatkan pandangan kedua pakar perundangan dalam dan luar negara sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sesuai ke atas akhbar berkenaan. Itu juga tidak disebut oleh Ambiga.

Dan seperti yang diduga, Ambiga juga menggunakan peluang menulis dalam The New York Times untuk mempromosikan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada hujung minggu ini di ibu kota, selama 34 jam, walaupun tanpa permit dan kebenaran pihak berkuasa.

Kononnya Bersih 4.0 diadakan untuk mengelakkan rakyat Malaysia ditipu pada PRU akan datang.

Putar belit inilah yang telah memperdayakan mereka yang menyertai perhimpunan haram itu kononnya untuk menuntut hak demokrasi dan membersihkan negara. Tetapi mereka terlupa kepada hak peniaga, pemandu teksi dan orang ramai di kawasan ibu kota. Hak untuk hidup dalam ketenangan.

Sudah-sudahlah Ambiga. Berpijaklah di bumi nyata.

Sumber: http://www.tv14.my/2015/08/22/ambiga-burukkan-negara-dalam-media-putar-belit-york-times/