Anggota PAC Menjadi Anggota Kabinet Apa Masalahnya?

Anggota PAC menjadi Anggota Kabinet: Apa Masalahnya?

1. Parti pembangkang membuat bising berhubung keputusan Perdana Menteri melantik 4 Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai menteri dan timbalan menteri dalam rombakan Kabinet baru-baru ini.

2. Pertama, seperkara yang perlu dijelaskan ialah keempat-empatnya bukan dilantik kerana mereka adalah anggota PAC tetapi atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen.

3. Berdasarkan perkembangan semasa, kita mungkin terpaksa menunggu sebelum PAC dapat meneruskan siasatan ke atas 1MDB. Berapa lama? Ia dianggar kira-kira 2 bulan kerana persidangan ketiga Parlimen hanya bermula pada awal Oktober bag menentukan pengerusi baharu dan penggantian anggota PAC.

4. Penangguhan itu mempunyai justifikasi tersendiri. Berikutan pendedahan dokumen palsu oleh Sarawak Report dan pengakuan teori konspirasi beberapa individu, adalah lebih baik bagi PAC menunggu keadaan reda dan mendapat gambaran lebih jelas secara menyeluruh. Jika tidak, PAC mungkin membuat keputusan berdasarkan andaian yang tidak tepat.

5. Apakah empat pelantikan baru-baru ini akan memesong atau menghentikan keseluruhan siasatan? Jawapannya sudah tentu tidak. Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan sebarang siasatan oleh Parlimen. Sebaik ia dimulakan, ia hanya boleh dihentikan apabila PAC sudah membuat keputusan dan membentangkannya kepada Ahli Dewan Rakyat. PAC tidak menghentikan fungsi atau siasatannya hanya kerana beberapa Ahli Parlimen bukan lagi menjadi anggotanya. Secara ringkasnya, itu adalah cara PAC beroperasi.

6. Justeru, saya tidak fikir PAC akan lumpuh hanya kerana 4 anggotanya dinaikkan pangkat ke dalam Kabinet. PAC diwujudkan sejak merdeka dan kekal sebagai lambang demokrasi berparlimen. Ia akan kekal begitu selagi Parlimen berfungsi di negara ini.

7. Pelantikan empat Ahli Parlimen bagi mengisi satu jawatan menteri dan tiga jawatan timbalan menteri itu dibuat berikutan keuapayaan dan kedudukan mereka dalam parti masing-masing. Mari kita perhalusi kemampuan mereka dengan terperinci.

8. Sebagai contoh, Datuk Madius Tangau adalah Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan secara dasarnya, beliau perlu menganggotai Kabinet. Jika Perdana Menteri tidak melantiknya minggu lalu, ia akan menghantar isyarat salah kepada ahli UPKO. Secara tidak langsung, pentadbiran Pusat akan dilihat tidak menghormati pilihan ahli UPKO. Selaku Setiausaha BN Sabah, saya berpendapat adalah salah bagi Perdana Menteri menafikan hak Presiden parti komponen di Sabah untuk menjadi anggota Kabinet.

9. Ini membawa kita kepada Datuk Reezal Merican yang dikenali sebagai Ahli Parlimen serba boleh. Saya mengenali Datuk Reezal sejak lebih 10 tahun lalu. Beliau berpengetahuan luas dan berupaya menggarap pelbagai perkara. Anda boleh mengadakan perbincangan intelek bersamanya mengenai apa perkara sekalipun dan saya berjanji, anda tidak akan kecewa dengan pemahaman beliau mengenai isu yang diperkatakan.

10. Anda akan mendapati beliau mudah dibawa berbicara, termasuk apabila membincangkan isu seperti ekonomi antarabangsa, pelaburan dan kewangan, sosial, sejarah Asia Barat dan undang-undang Islam. Jika anda tidak percaya, hubungi beliau dan ajak beliau berbincang. Anda boleh berbicara dalam bahasa Inggeris, Melayu atau Arab. Beliau fasih dalam ketiga-tiga bahasa, lengkap dengan lenggok tatabahasanya.

11. Pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Luar akan memberi Malaysia kelebihan dari segi hubungan antarabangsa, terutama hubungan Malaysia dengan Asia Barat yang mana kefasihannya berbahasa Arab adalah kelebihan besar.

12. Menyentuh mengenai Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sudah menjadi tradisi UMNO untuk menyerap Ketua Puteri ke dalam Kabinet. Perkara sama dilakukan terhadap Datuk Seri Azalina Othman, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Rosnah Rashid Shirlin ketika menerajui Puteri UMNO. Berbekalkan latar belakang beliau dalam bidang perundangan, Mas Ermieyati seharusnya berada dalam barisan hadapan.

13. Bagaimanapun, semestinya yang paling hebat dikritik adalah pelantikan bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohammed.

14. Rentetan kritikan dan tindakan pembangkang memperlekehkan pelantikan beliau berlaku dengan pantas dan secara berterusan. Tambahan pula, beliau berada tengah-tengah kemelut 1MDB dan sepatutnya mengetuai siasatan terhadap 1MDB. Di sebalik segala kecaman itu, saya tetap yakin kita perlu berlaku adil terhadap beliau.

15. Saya dilantik menganggotai PAC bersama Datuk Nur Jazlan pada 2008. Ketika saya bernasib baik kerana diberi peluang menjadi Menteri Kabinet pada 2013, beliau tidak mendapat peluang sedemikian dan berikutan itu, ramai penyokong dan pengundinya menganggap kerjaya politik Datuk Nur Jazlan “terkapai-kapai” – terutama apabila ini adalah tahun kelapan beliau sebagai anggota PAC.

16. Terlepas menganggotai Kabinet pada tahun 2013 bukanlah kali pertama. Hakikatnya, Datuk Nur Jazlan terlepas enam peluang untuk dilantik menganggotai Kabinet sepanjang menjadi Ahli Parlimen.

17. Kali pertama adalah ketika pengumuman pembentukan Kabinet tidak lama selepas pilihan raya umum (PRU) 2004. Kali kedua adalah ketika Kabinet oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Februari 2006. Kali ketiga adalah sewaktu pembentukan Kabinet selepas PRU ke-12 pada 2008. Kali keempat ketika Datuk Seri Najib Razak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009. Kali kelima adalah pembentukan Kabinet selepas PRU ke-13 pada 2013 dan kali keenam apabila Datuk Seri Najib Razak membuat rombakan kecil Kabinet pada 2014. Soalan yang perlu dijawab ialah apakah adil untuk menafikan peluang beliau memanjangkan karier politiknya buat kali ketujuh?

18. Menerusi pertimbangan kurang cerdik, kita mungkin berkata “ya” kerana lebih minat melihat beliau memenuhi kehendak kita berbanding kemahuan sendiri. Bagaimanapun, jawapannya agak berbeza bagi beliau. Dan secara jujurnya, kita tidak boleh menyalahkan beliau kerana berfikiran sedemikian.

19. Datuk Nur Jazlan dilahirkan dalam keluarga politik. Bapanya, Allahyarham Tan Sri Mohammad Rahmat, pernah menjadi pemimpin hebat dalam UMNO dan menteri persekutuan serta Setiausaha Agung UMNO. Darah politik pekat mengalir dalam dirinya. Justeru, mudah membuat andaian bahawa kesinambungan legasi bapanya adalah penting buat Datuk Nur Jazlan, keluarganya dan pengundinya, seiring kerjaya politik cemerlang keluarganya.

20. Untuk menyimpulkan segala-galanya secara jujur, setiap Ahli Parlimen menyimpan impian untuk berbakti kepada negara. Cara terbaik ialah menjadi anggota Kabinet sebagai menteri atau timbalan menteri.

21. Kita perlu memberi ruang kepada Datuk Nur Jazlan untuk meniti landasan kerjayanya dengan hati dan pemikiran terbuka. Beliau, penyokong dan rakyat di kawasan, layak menerima penghormatan itu! Jika beliau terlepas rombakan Kabinet baru-baru ini, peluang berikutnya adalah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 dan itu adalah tiga tahun dari sekarang.

22. Harus diingat, PAC boleh disusun semula. Itu tidak menjadi masalah. Ia tidak akan mengambil masa lama, paling lama adalah 2 bulan kerana Parlimen akan bersidang semula Oktober depan bagi menentukan Pengerusi baharu dan penggantian anggota PAC. Saya yakin pengerusi baharu akan menyambung apa yang dilakukan Datuk Nur Jazlan tanpa banyak masalah. Paling utama, tidak harus wujud sebarang keraguan terhadap PAC sebagai lambang kebenaran dalam demokrasi berparlimen negara ini.

Oleh Abdul Rahman Dahlan,
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional.
https://www.facebook.com/rahmandahlan.my/posts/703121923152754