Apa Motif Sorok DEIG Bawah MBI? Akan Menimbulkan Masalah Urus Takbir, Ketidaktelusan Dalam Hal Kewangan & Pelaburan Memandangkan Entiti Berkenaan Bebas Audit

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertikai ketelusan penubuhan entiti pelaburan baharu, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang disorok di bawah Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

Adun Pelabuhan Klang itu mendakwa DEIG akan menimbulkan masalah urus tadbir termasuk ketidaktelusan dalam hal kewangan dan pelaburan memandangkan entiti berkenaan bebas audit.

“Sebelum 2008 MBI ditadbir di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), bukan MBI di atas KDEB. Sebelum ini tidak ada pengurusan yang jelas mengenai urus tadbir MBI. Saya sudah betulkan semula supaya MBI menjadi entiti khas terus kepada kerajaan dan terus kepada Dewan maknanya tidak ada perantara.

“Melalui entiti pelaburan MBI kontrak- kontrak akan dipantau terus melalui Dewan bukan disorok di bawah syarikat yang disorok (DEIG). Penubuhan ini jelas mengurangkan ketelusan,” katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Dun, hari ini.

Khalid menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan aset-aset oleh sebab itu semua perkara ini harus dibawa ke Dewan untuk dinilai ketelusannya.

Selain Khalid, beberapa Adun kerajaan dan pembangkang turut bangkit mempersoalkan kewajaran penubuhan DEIG yang dianggap menjalankan fungsi bertindih dengan MBI.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bangun membidas persoalan yang dibangkitkan pendahulunya dengan mengkritik pemberian pampasan sebanyak RM 2.6 juta kepada lapan bekas pegawai MBI.

“Kalau nak dengar ceramah ekonomi kita boleh dengar sampai petang, jika benar MBI diambil alih daripada kedudukan tidak jelas di bawah KDEB dan diletakkan entiti baru dinamakan MBI. Bunyi sedap tetapi bagaimana dari segi pelaksanaan?

“Bagaimana pegawai MBI boleh bayar pampasan tanpa kelulusan,” soal Azmin.

“Apa yang dikatakan saudara itu tidak benar, jangan bawa kes ini ke dalam dewan sebab ia masih lagi berada dalam perbicaraan mahkamah, saudara jangan buat tuduhan begitu,” tegas Khalid.

Khalid membidas bahawa perkara itu masih dibicarakan di mahkamah manakala Speaker, Hannah Yeoh meminta mereka berdua tidak menyebut urusan mahkamah di Dun.

Di luar dewan, Khalid menjelaskan sebagai bekas Menteri Besar, beliau bertanggungjawab untuk memberi pendapat tentang pentadbiran kerajaan negeri supaya lebih telus dan bertanggungjawab terhadap dana rakyat.

Katanya, beliau membangkitkan isu DEIG kerana bimbang ia kan menambahkan lagi risiko kepada kerajaan Selangor.

Katanya, DEIG ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Syarikat 1965 dan mengurangkan ketelusan kerana urusan melibatkan hutang dan bayaran oleh syarikat itu tidak dibawa ke dewan untuk dibincangkan.