Azmin Mahu Kaji Semula SKIM 20 Meter Padu Air Percuma – “Guna Untuk Cuci Kereta, Berkebun & Tidak Hargai Pemberian Air Percuma ini”

Pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu bagi rakyat Selangor diteliti semula bagi memastikan skim berkenaan benar-benar sampai kepada golongan sasar, kata Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, buat masa ini, dasar itu dilihat tidak menepati matlamat apabila rata-rata pemberian itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, skim air percuma itu tidak memberi apa-apa erti kepada mereka yang berpendapatan tinggi hingga digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

“Mereka akan guna untuk cuci kereta, untuk berkebun dan mereka tidak menghargai pemberian air percuma ini,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu juga menjelaskan, kerajaan Selangor berhasrat supaya pemberian air percuma itu dimanafaatkan oleh mereka yang tinggal di bangunan strata atau pangsapuri kos rendah dan sederhana.

Jelas beliau, RM11.40 bagi 20 meter padu itu amat besar nilainya kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Tetapi bagi mereka yang berpendapat tinggi, ia mungkin satu perkara kecil dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan akhirnya akan berlaku pembaziran dari segi kegunaan air.

“Ia bukan soal ketirisan dalam program tapi pembaziran dan tidak hargai pembiayaan yang begitu besar oleh kerajaan negeri,” katanya lagi.