Bagaimana Perhimpunan ini Akan Menyaksikan Puluhan Ribu Berkhemah Selama 2 Hari, Akan Menjadi Pemangkin Kepada Pilihan Raya Yang Bersih Dan Adil Serta ‘Menyelamatkan Ekonomi’?

Sebagai bekas Pengerusi Pakatan Pilihanraya Yang Bersih dan Adil (BERSIH), Ambiga Sreenevasan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang hanya berasaskan retorik, seperti yang selalu diungkapkan oleh Perdana Menteri.

Di dalam kenyataan media terbarunya, beliau berkata BERSIH akan meneruskan gerakan protes ‘untuk menyelamatkan generasi masa hadapan’. Beliau juga berkata mereka yang membantah perhimpunan tersebut hanya mengungkit isu yang sama seperti sebelum ini.

Ada yang berkata saya tidak berlaku adil. Saya mohon maaf, tetapi kononnya NGO yang dipanggil BERSIH ini telah bermula pada tahun 2006 dan kini berusia hampir sedekad. Ia sepatutnya lebih matang dan tidak lagi membuat tuduhan dan tuntutan yang kabur tanpa penjelasan mengapa.

Secara jujurnya, saya kini tidak lagi menyokong perhimpunan ini. BERSIH merupakan pakatan yang berusia 9 tahun yang tidak mempunyai apa-apa organisasi atau matlamat yang jelas.

Adakah ia mencapai apa-apa? Ya. Kita tidak nafikan. Tetapi banyak lagi yang boleh dicapai dan mesti dicapai kerana ia berbicara mengenai pilihanraya yang bersih dan adil. Ini, semestinya sebelum ia membuat keputusan untuk turut berjuang dalam hal ekonomi juga.

Sama juga, akan muncul juga kumpulan yang kurang cerdik, yang diketuai oleh orang yang sama berhimpun di hadapan rumah Ambiga beberapa tahun lepas; yang mencetuskan kekecohan di forum #Nothing2Hide; dan disiasat atas pergaduhan di Low Yat yang mencederakan beberapa orang awam.

Saya tidak bersama mereka. Apa yang saya maksudkan adalah kekaburan BERSIH itu sendiri, walaupun telah berusia hampir sedekad, tetapi masih lagi bertindak seperti organisasi yang tidak matang.

Bersih mahukan kerajaan yang bersih. Siapa yang tak nak?

Bersih mahukan pilihanraya yang bersih dan adil? Semua orang nak.

Bersih ingin menyelamatkan ekonomi? Bagaimana? Dengan menjual baju dan menghantar Superman pergi berjalan-jalan?

Teruskan dengan perhimpunan anda, untuk membuktikan ‘rakyat hilang keyakinan’.

Bagaimana pun, masa untuk tindakan simbolik telah tamat.

Rakyat Malaysia mahukan sesuatu yang lebih konkrit daripada setakat berarak di jalanraya di Kuala Lumpur, berhadapan dengan penghadang, berlari dari dihujani gas pemedih mata hanya kerana ingin satu dua cerita menarik mengenainya ditulis.

Apa yang kita mahukan adalah tindakan perancangan yang kukuh. Jika BERSIH bertegas perhimpunan ini akan menyelamatkan generasi seterusnya, boleh jelaskan bagaimana?

Bagaimana perhimpunan ini, yang akan menyaksikan puluhan ribu berkhemah selama 2 hari, akan menjadi pemangkin kepada pilihanraya yang bersih dan adil, menghalang persempadanan semula dan ‘menyelamatkan ekonomi’?

Sudah semestinya, mereka berhak menerima ucapan tahniah kerana berjaya menjana RM1.2 juta sumbangan dari mereka yang menyokong usaha BERSIH, walaupun mereka hanya meminta RM200,000 untuk perhimpunan ini, seperti yang tertulis di laman Facebook rasmi mereka.

Walaubagaimanapun, dalam masa yang sama, adakah tidak munasabah untuk menyebut apa lagi yang anda rancang untuk lakukan dengan wang RM1 juta itu, dan lebih lagi apabila anda masih mengutipnya?

Sepertimana saya meragui Perdana Menteri kerana tidak menjelaskan ke mana RM2.6 bilion itu dibelanjakan dari akaun beliau sendiri, saya juga akan bertanya kepada BERSIH perkara yang sama.

Dari pihak saya, saya sudah pun menyebut mengenainya. BERSIH sepatutnya mempunyai tempat di dalam jawatankuasa konsultatif pembiayaan politik yang ingin dibentuk oleh Perdana Menteri.

Tetapi bagaimana dengan anda, Bersih?

Dengan Pilihanraya Negeri Sarawak akan berlangsung pada tahun depan dan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya sedang dicabar di dalam mahkamah, adakah ini akan diabaikan untuk perhimpunan ini?

Apa perancangan anda ke arah PRU 2018?

Malah, apa yang anda telah buat pada tahun ini selain dari bercakap tentang perhimpunan ini?

Jika anda anda bertegas untuk berlaku adil, Bersih, maka anda pastinya sanggup untuk berdepan dengan persoalan, sama seperti dengan orang yang anda telah hilang kepercayaan itu.

Dan jika rakyat Malaysia tidak mahu melihat anda dipersoalkan seperti itu, maaf, mereka pun tidak lebih bagus dari anda.

Kepada yang akan menghadirinya, nikmatilah festival baju kuning selama 2 hari yang pastinya akan memberi memori yang indah untuk tahun-tahun akan datang yang mungkin akan dihabiskan di bawah regim yang sama, atau digantikan dengan satu regim baru yang masih melakukan perkara yang sama kerana tiada siapa yang berfikir apa yang sebenarnya yang perlu diubah.

Tetapi, hey, sekurang-kurangnya anda telah berada di situ, berhimpun dan membeli tshirt kuning.

Oleh Hafidz Baharom,
http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2015/08/21/is-bersih-just-an-empty-vessel-making-a-loud-noise/