Bank Negara Malaysia Tidak Akan Menambat Atau Perkenal Langkah Kawalan Modal Bagi Membendung Penurunan Nilai Ringgit

Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan menambat atau perkenal langkah kawalan modal bagi membendung penurunan nilai ringgit.

“Saya ingin tegaskan bahawa kita tidak mahu menambat ringgit. Kita sudah beralih daripada kawalan modal,” kata Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz selepas mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia pada suku kedua 2015 di sini hari ini.

Ringgit sudah jatuh 12.32 peratus tahun ini menjadikannya antara mata wang dengan prestasi terburuk di Asia.

Zeti berkata, langkah tidak membuat tambatan tetap ringgit juga disebabkan negara ketika ini tidak berdepan persekitaran ekonomi ekstrem seperti ketika krisis kewangan pada 1998.

Beliau berkata ekonomi Malaysia berkembang 4.9 peratus untuk suku kedua tahun ini, disokong oleh permintaan domestik dan sektor swasta yang kukuh.

Pada suku pertama tahun ini, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.6 peratus.

Dalam pada itu, Zeti berkata, tidak berlaku kekurangan dolar AS dalam sistem kewangan negara.

Pada 2013, Zeti diletakkan dalam ranking ‘Gred A’ sebagai antara gabenor bank pusat terkemuka buat kali ke-10 oleh majalah Global Finance.

Turut sama dalam ranking itu ialah Gabenor Bank Pusat Filipina, Amando Tetangco, Jr. dan Gabenor Bank Pusat Taiwan Perng Fai-nan, daripada senarai gabenor bank pusat 50 negara utama.

Menurut Global Finance, gabenor-gabenor bank pusat dinilai atas daya usaha mereka bertahan daripada campur tangan politik dan tindakan mereka mempengaruhi kerajaan masing-masing dalam isu seperti perbelanjaan dan keterbukaan ekonomi sehinggalah kepada pelaburan asing dan perkhidmatan kewangan.

Penggredan dilakukan pada skala ‘A hingga F’ dalam bidang seperti matlamat pertumbuhan ekonomi, kestabilan semasa dan pengurusan kadar faedah.