Bersih 4.0: Angkatan Tentera Malaysia Sedia Dikerah

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia dikerah sekiranya kerajaan mengumumkan darurat akibat perhimpunan Bersih 4.0 yang dijadualkan diadakan hujung minggu ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, ATM sentiasa dalam keadaan bersedia, terlatih dan efisien bagi penugasan bagi tujuan ketenteraman awam.

“Angkatan Tentera Malaysia hanya akan mengambil alih situasi apabila terdapat pengisytiharan rasmi oleh kerajaan.

“Jika situasi dikategorikan sebagai ancaman kepada ketenteraman awam, kami akan ambil peranan polis untuk membendung keadaan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM2015.

Tambahnya, tindakan pencegahan sentiasa diambil ATM termasuk memastikan setiap anggota sentiasa bersiap siaga dengan sebarang situasi yang memberi ancaman kepada keamanan negara.

“Kita ambil langkah-langkah tertentu takut-takut perhimpunan ini (Bersih 4.0) bertukar menjadi satu keadaan ketenteraman awam (darurat).

“Contohnya apa yang berlaku di Thailand, pengeboman, orang panik dan orang ambil kesempatan,” tambahnya.
Beliau turut mengesahkan bahawa tiada anggota ATM ditempatkan bagi mengawal keadaan semasa perhimpunan yang dijadualkan diadakan pada hujung minggu ini.

Bersih 4.0 akan berlangsung 36 jam bermula Sabtu ini di tiga kota besar, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching