Bukankah Ironi Apabila Orang Yang Kita Hendak Jatuhkan Dahulu Kini Mendapat Sokongan Kita Untuk Menjatuhkan Pengganti Beliau?

Pada tahun 1999 kita hendak menukar kerajaan. Dan sebab itulah ramai di antara kita yang menyertai gerakan Reformasi dan menyokong pakatan pembangkang yang baru yang terdiri daripada PKN, DAP, PAS, dan PRM yang dipanggil Barisan Alternatif.

Laungan gerakan reformasi ketika itu adalah Turun Mahathir. Secara ringkasnya, kita mahu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan. Siapa yang patut menggantikan beliau tidak penting. Kita hanya mahukan Tun Mahathir pergi, tak kira siapa yang menggantikan beliau.

2 tahun kemudia, Barisan Alternatif tumbang apabila DAP meninggalkan pakatan tersebut kerana perselisihan faham dengan PAS. Kemudian, beberapa bulan kemudian, pertengahan tahun 2002, Tun Mahathir mengumumkan beliau akan bersara dan akan menyerahkan kuasa kepada timbalan beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Penyerahan kuasa itu sepatutnya berlaku pada 1 November 2003.

Masih ada yang kekal dengan pembangkang tetapi majoriti rakyat Malaysia sangat lega kerana selepas 22 tahun, Tun Mahathir akhirnya pergi dan akibatnya beberapa bulan kemudian, pada pilihanraya umum 2004, mereka mengundi parti pemerintah dan menyaksikan mereka menang dengan majoriti terbesar dalam sejarah pilihanraya Malaysia.

Jadi, apa yang dimahukan kebanyakan orang bukanlah pertukaran kerajaan tetapi sekadar pertukaran perdana menteri. Dan mereka menunjukkan kegembiraan mereka itu melalui kertas undi.

Tidak lama kemudian mereka mula sedar yang apa mereka fikir pada mulanya – yang sesiapa yang mengambil alih dari Tun Mahathir tidak mungkin lebih teruk dari beliau – terbukti salah. Abdullah sememangnya lebih teruk dari Mahathir.

Jadi, apabila Mahathir melancarkan kempen Undur Pak Lah pada 2006, ramai dalam kalangan kita menyokong beliau. Bukankah ironi apabila orang yang kita hendak jatuhkan dahulu kini mendapat sokongan kita untuk menjatuhkan pengganti beliau?

Kita tak peduli tentang apa yang dibuat oleh Tun Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Kesemua itu boleh dilupakan untuk sementara waktu dan dimaafkan selagi beliau berusaha untuk menjatuhkan pengganti beliau. Kita akan sokong beliau kerana kini kita mempunyai kepentingan yang sama.

Tetapi ada satu perkara yang merisaukan kita. Siapa yang patut menggantikan Abdullah? Siapa calon Tun Mahathir? Petunjuk yang kita terima adalah orang yang akan menggantikan Abdullah adalah Tengku Razaleigh Hamzah. Dan kita boleh menerima beliau.

Kemudian Abdullah meletak jawatan perdana menteri. Ingatkan Tengku Razaleigh akan mengambil alih, rupanya Najib Tun Razak. Kita syak perkara ini akan terjadi sebab itu kita tanya Tun Mahathir jika Abdullah letak jawatan, siapa yang Tun fikirkan sesuai untuk menjadi perdana menteri?

Tetapi Tun Mahathir tidak memberikan jawapan yang jelas. Beliau membiarkannya kabur dan berkata, sesiapa yang jujur boleh mengambil alih. Dalam masa yang sama beliau memberikan petunjuk seolah-olah Ku Li yang akan mengambil alih.

Sekarang Tun mahu kita menyokong beliau menyingkirkan Najib. Tak kisah siapa yang akan menggantikan Najib. Sesiapa sahaja pasti lebih bagus dari Najib. Ya, kita masih ingat apabila diberitahu, sesiapa sahaja pasti akan lebih bagus dari Tun dan Abdullah. Dan sekarang kita diberitahu sesiapa sahaja lebih bagus dari Najib.

Ini sudah kali ketiga kita diberitahu yang sesiapa sahaja lebih bagus dari perdana menteri yang sedang berkuasa. Untuk 2 kali yang pertama, kita salah. Apa yang buat mereka terfikir mereka tidak akan salah untuk kali ke 3?

Masalahnya ialah, kita bercakap mengenai menukar perdana menteri. Kita tidak bercakap mengenai menukar budaya politik dan sistem politik. Maka, perdana menteri yang baru hanyalah kesinambungan perkara yang lama. Ianya seperti wain yang lama di dalam botol yang baru. Dan sudah 2 kali kita melakukan perkara yang sama. Patutkah kita melakukannya sekali lagi dan tetap dibuktikan salah?

Ada yang berkata, alternatif lain adalah kita tukar keseluruhan kerajaan, dan bukan setakat BN dan UMNO. Kita tendang keluar UMNO dan BN dan gantikan dengan kerajaan yang baru.

Betul, itu merupakan alternatif yang lebih baik jika UMNO dan BN tidak boleh dipulihkan lagi. Tetapi nak gantikan dengan apa? Pakatan Rakyat?

DAP berkata Pakatan Rakyat telah berkubur. Pakatan Rakyat sudah mati. Malah, jika mereka membentuk pakatan pembangkang yang baru sekalipun untuk menggantikan Pakatan Rakyat, PAS tidak akan dijemput dan dibenarkan untuk menyertainya.

DAP telah membunuh pakatan pembangkang pertama yang dipanggil Gabungan Rakyat selepas PRU 1990. Perkara yang sama juga terjadi kepada Barisan Alternatif selepas PRU 1999. Sekarang, disebabkan DAP, Pakatan Rakyat terkubur. Dan setiap kali itu, puncanya adalah mereka tidak gembira dengan PAS.

Jadi sekarang mereka ingin membentuk pakatan keempat dalam tempoh 25 tahun dan PAS tidak akan menyertainya. Dan inilah tawaran terbaru mereka untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional.

Ini tidak memberikan jaminan yang pakatan terbaru dalam tempoh 25 tahun ini cukup stabil untuk mengambil alih negara ini. Apa jaminan yang kita ada yang pakatan ini akan bertahan di mana 3 pakatan sebelum ini terkubur. Dan pada setiap kali, DAP juga yang menjadi puncanya.

Jadi, ya, Malaysia perlukan perubahan. Tapi ianya bukan sekadar menukar perdana menteri dan kerajaan yang memerintah. Dalam masa yang sama, hingga seseorang dapat meyakinkan saya yang mereka mampu menawarkan yang lebih baik berbanding benda yang tiada perubahan, saya akan kekal dengan PAS dan membiarkan sahaja perdana menteri sekarang kerana semua perubahan yang kita telah lihat – sama ada pertukaran perdana menteri atau pakatan – terbukti tidak lebih baik dari yang sebelumnya.

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/yes-let-us-change-the-government/