Cadangan Supaya Soal Dana Politik Dibuat Lebih Telus Terbuka Tidak Dipersetujui oleh DAP. Kenapa Tidak Setuju Ada Muslihat Kah – Najib Razak, Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan tunduk dengan desakan orang asing yang menentukan siapa yang patut memimpin negara ini.

“Saya pantang dalam hal ini, saya tidak boleh terima orang luar yang mengarahkan hal itu. Kalau saya tidak betul, ahli parti boleh tegur dengan cara yang betul.

“Tetapi kalau orang luar, orang asing yang hendak tentukan siapa pemimpin negara, saya tidak akan terima dan tentulah ahli parti juga tidak akan menerimanya,” katanya dalam ucapan merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Pusat Dakwah Islamiah Paroi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Najib yang juga Presiden UMNO menjelaskan, dalam soal dana politik (political funding), beliau bersedia menerangkannya kepada umum tetapi dengan syarat pembangkang juga hendaklah berbuat perkara sama.

“Saya boleh terangkan punca kewangan UMNO, tetapi parti seperti DAP dan PKR terangkan juga siapa pemberi dana mereka. Jangan hendak menyerang saya sahaja,” tegasnya.

Najib memberitahu, dia telah mengemukakan cadangan itu sebelum ini supaya soal dana politik dibuat lebih telus dan terbuka, tetapi tidak dipersetujui oleh DAP.

“Kenapa tidak setuju? Ada muslihat ke? Bila tidak setuju, apa sebenarnya dan puncanya. Cubalah senaraikan. Saya boleh senaraikan siapa yang derma pada UMNO.

“Saya akan buat semula cadangan ini, supaya soal dana politik ini dibuat dengan lebih telus,” ujarnya.

Najib menambah, dalam soal ahli UMNO pula, hendaklah soal kesetiaan diutamakan.

“Saya menilai kepada kesetiaan, hendak cari orang pandai memang banyak, yang merasakan diri berkaliber juga banyak, tetapi hendak mencari yang setia (maksud setia ialah yang tidak setia membuta tuli) adalah sukar,” ujarnya.