DAP & GHB Terus Asak Azmin Isu DEIG

Semalam dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mengasak Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkaitan dengan isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Kedua ADUN DAP itu adalah Yeo Bee Yin (Damansara Utama) dan Ng Zhee Han (Kinrara).

Hari ini, ADUN PAS yang dijangka keluar parti untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), Saari Sungib (Hulu Kelang) pula mendesak Azmin menangguhkan operasi DEIG.

Saari ketika membentangkan usul itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, operasi syarikat “pengurusan risiko” pelaburan negeri itu perlu ditangguhkan selama enam bulan sehingga kertas putih mengenainya dibentangkan dalam dewan.

Menurutnya, kertas putih berkenaan harus menerangkan mengenai keperluan diwujudkan syarikat yang ditubuhkan Azmin itu.

Pada masa sama, katanya, segala pelaburan strategi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus diteruskan di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Kami mahukan ketelusan dan kebertanggungjawaban. Kebimbangan kami adalah DEIG ditubuhkan orang yang sama menerajui MBI dan dipengerusikan menteri besar.

“Kita bimbang elemen semak dan seimbang itu tidak mencukupi,” katanya kepada pemberita di luar lobi DUN, hari ini, lapor The Malaysian Insider. http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dun-selangor-cadang-tangguh-operasi-deig

Katanya, kebimbangan itu turut dinyatakan majoriti Adun.

Saari sebelum itu membentangkan penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri berkenaan DEIG.

DUN hari ini meluluskan penyata itu supaya isu DEIG dibentangkan pada sidang akan datang pada November, berserta kertas putih yang akan disediakan menteri besar.

Ketika perbahasan, Adun Kampung Tunku, Lau Weng San (DAP) berkata, kerajaan negeri perlu mengambil iktibar daripada anak syarikat Singapura, Temasek yang mengalami susut nilai aset sebanyak S$40 bilion pada tahun lalu, agar tidak terjadi kepada DEIG.

Katanya, kerajaan negeri tidak sepatutnya menjadikan pentadbiran negeri terlibat dengan perniagaan.

“Apa yang kami bimbang adalah langkah pemantauan. Saya rasa ia perlu dibangkitkan seawal mungkin dan bukan di pertengahan jalan,” katanya.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin (DAP) berkata pihaknya mendapati DEIG tidak melantik individu yang berpengalaman dalam pelaburan di kalangan lembaga pengarah, malah tiada ahli lembaga bebas dilantik dalam syarikat itu.

“Tiada undang-undang melarang DEIG daripada membuat pinjaman dan ketiadaan ahli lembaga pengarah bebas berpengalaman merupakan satu gabungan yang membimbangkan.

“Pemusatan kuasa ini, tanpa semak dan imbang, akan mengakibatkan salah guna wang rakyat. Saya risau DEIG akan menggunakan aset RM6.3 bilion untuk membuat pinjaman dan seterusnya membuat pelaburan berisiko tinggi,” kata Yeo.

Adun Ijok, Dr Idris Ahmad (PKR) berkata penubuhan DEIG bermula dengan langkah yang salah kerana semua Adun tidak tahu kewujudannya.

“Syarikat yang penting seperti DEIG sepatutnya dibentangkan dulu kepada Adun sebab DUN berhak untuk mendengar.

“Bukan kita hendak menyekat atau menghalang, tetapi di mana ketelusan? Mana hala tuju syarikat baharu ini? Kita tidak mahu syarikat ini menjadi satu lagi 1MDB. Itu yang penting,” katanya.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim (DAP) mendedahkan mengenai kelemahan MBI sebagai syarikat induk yang tidak membuat sebarang pelaburan selama 7 tahun lalu dan kewajaran DEIG ditubuhkan.

“MBI setahu saya, dalam 7 tahun tidak ada sebarang pelaburan yang diceburi. Tanah-tanah yang ada dibiarkan semak samun.

“Tidak tahu menjana pendapatan untuk MBI. Yang ada, bayar gaji untuk staf, dan RM2.7 juta untuk pampasan,” katanya.