DAP Mungkin Paksa Gerakan Harapan Baru Tinggalkan HUDUD

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali tidak menolak kemungkinan parti baharu yang bakal ditubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) akan meninggalkan hudud kerana itu merupakan faktor pertikaian di antara DAP dan PAS.

“Pada waktu ini sudah ada orang yang jadi burung kakak tua DAP.

“Sebab benda yang menjadi pertikaian di antara PAS dan DAP ialah hudud. DAP kata awak tinggal hudud. Awak nak bersama kita, awak (mesti) tinggalkan hudud.

“DAP merasakan mereka boleh menguasai pengundi Cina sekarang ini. Dan mereka (GHB) ini nak menang pilihan raya memerlukan undi Cina

“Ok ‘awak mahu undi Cina, tidak ada hudud.’ Dan saya yakin kalau mereka (GHB) ini tidak berhati-hati. Mereka akan tinggal hudud, sebab DAP kata ‘no hudud’.

“Ini adalah ramalan saya,”kata Mustafa, 71 tahun yang telah mengikuti perkembangan DAP sejak dari awal penubuhan pada 1965.

PAP



Menurutnya, DAP berasal daripada PAP, sebuah parti berasaskan kaum Cina di Singapura.

“Sebab saya ikut DAP sejak awal penubuhan tahun 1965 lagi, sesetengah mereka (GHB) itu mungkin (masih) sekolah lagi masa itu.

“1965, awak ada di mana ?” (soal Mustafa kepada wartawan) “Hah, baru umur 5 tahun” (Ulang Mustafa jawapan yang diberikan wartawan itu)

“Saya dah kenal DAP pada masa itu, DAP melalui perubahan, saya tak menafikannya itu asalnya PAP saya tak nafikan itu. Ya lah itu kita cerita kemudian,”katanya.

Tokong:



Mustafa berkata kepimpinan DAP bersikap angkuh kerana dipengaruhi stail kepimpinan berpolitik ‘Tokong’

Menurutnya, ciri kepimpinan seumpama itu telah mencorakkan kepimpinan DAP bersifat ‘authoritarian’ (diktator).

“DAP ini, dia punya dalaman politiknya adalah (stail) Tokong.

“Tokong ini authoritarian (diktator) maknanya kata seorang ni, ‘aku kata macam ni kau kena ikut’. Jadi benda itu terbawa-bawa.

“Ini nak kena ikut, I say no hudud, no hudud.”

GHB ganti PASMA:



Menurut Mustafa, pada awalnya PASMA (Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia) dirancang untuk menggantikan PAS, namun kerana NGO itu tidak disokong secara meluas oleh akar umbi PAS, maka ia diganti dengan GHB.

“Rancangan awal yang dibuat sebelum ini sebelum daripada muktamar (PAS), yang diharapkan menggantikan PAS ialah PASMA.

“PASMA sebenarnya nak bekerjasama dengan DAP dan DAP sudah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PASMA.

“Tetapi selepas itu, PASMA ini mungkin tidak cukup kuat sehingga di kalangan yang baru (daripada GHB) menyatakan PASMA pun bukan boleh diterima pun. Jadi gerakan ini (GHB).

“Seolah-olah Gerakan Harapan Baru ini mengambil tempat PASMA yang diharapkan menggantikan tempat PAS untuk bekerjasama dengan DAP.

“Sewaktu perjumpaan (PASMA) pertama yang dibuat di Kota Bharu, ada beberapa orang pimpinan (PAS) di belakang PASMA ini, saya sebut tanpa menyebut nama..”

Hadirin Hassan Ali lebih besar daripada GHB:



Mustafa berkata PAS mengalami beberapa krisis dalaman sejak dari dulu lagi dan krisis yang paling besar adalah pada tahun 1977, ketika Presiden PAS, Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohd Asri bin Haji Muda memecat Menteri Besar Kelantan, Dato’Haji Muhammad Nasir.

Malah, katanya, hadirin yang mengikuti ceramah Datuk Hassan Ali (yang dipecat daripada PAS) pada tahun 2012 jauh lebih ramai daripada hadirin yang mengikuti ceramah GHB.

“Waktu dia (Hassan) dok hentam PAS, jauh lebih besar daripada sekarang ni (GHB).

“Dan biasalah dalam politik ini, cakap kali pertama, orang nak dengar. Apa dia hala tuju ke mana. Mari kali kedua dah tak sama dah (hadirin) macam yang pertama. Jangan ghairah sangat dengan sambutan yang seperti itu.

“Jadi kepada adik-adik saya ini sebagaimana saya mengingatkan Hassan Ali dan Nasaruddin Mat Isa empat tahun yang lalu, saya nak peringatkan (semula kepada GHB), jangan terperangkap dengan DAP.

“Saya sebutkan dari segi (krisis) yang dihadapi oleh PAS, yang paling teruk tahun 1977, itu adalah krisis terbesar ketika Dato Nasir (dipecat). Saya ada pada masa itu.

“Yang ini (GHB) tak besar mana. Ini tak besar mana.”