DAP Terima Dana Asing Sejak Tahun 2008 Lagi – Mohamed Razali, Bekas Setiausaha Organisasi & Timbalan Ketua Pemuda DAP

Kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa parti itu tidak pernah menerima satu sen pun dana asing sejak penubuhannya dalam portal Malaysia Kini hari ini memang meragukan.

Hal ini kerana terdapat percanggahan maklumat dengan kenyataan bekas orang kanan DAP, Mohamed Razali Bin Abd Rahman yang mendakwa DAP sememangnya menerima dana dari negara luar sejak dari tahun 2008 lagi.

“DAP terlalu berahsia tentang dana politik yang diperoleh mereka sedangkan banyak dana politik mereka datang dari negara-negara eropah, seperti Belanda, Sweden, United Kingdom selain Australia, Amerika Syarikat, seingat saya dalam 7-8 negara,” ujar Mohamed Razali

Mohamed Razali berkata DAP tidak menggunakan akaun parti sendiri tetapi menggunakan proksi untuk menyalurkan dana politik tersebut supaya tidak dapat dikesan Bank Negara dengan mudah.

“Mereka menyalurkan wang tersebut secara sedikit demi sedikit agar sukar dikesan dan proksi tersebut tahu bila masa yang sesuai dan selamat untuk memasukkan wang tersebut.”

Dengan menggunakan proksi, memang sukar untuk mengesan sebarang perkaitan antara mereka. Patutlah Kit Siang begitu berani berkata jika DAP telah menerima hanya satu ringgit pun dana asing, mereka akan dituduh sebagai ejen dan alat kuasa asing.

Mohamed Razali berkata beliau sendiri terkejut melihat orang asing yang tidak pernah dilihat sebelum ini tiba-tiba muncul di ibu pejabat DAP pada 2008.

“Tiba-tiba selepas 2008 DAP menjadi sebuah parti yang mempunyai kewangan yang terlalu kukuh, contohnya DAP hanya memerlukan dua tahun bagi membina bangunan ibu-pejabat negeri di Pulau Pinang, sedangkan Gerakan dulu ambil masa 12 tahun untuk bina ibu pejabat mereka,” katanya dalam satu temubual.

Ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih, Kit Siang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan jumlah dana asing yang diterima oleh Umno dan BN semasa kempen pilihan raya umum lepas namun dana DAP sendiri dari luar negara dinafikan bermati-matian. Dimana keikhlasan DAP?

Lebih hebat lagi, bukan sahaja Datuk Seri Najib, Kit Siang juga mahu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan berapa banyak dana asing yang mereka terima bagi pihak BN bagi setiap pilihan raya umum dari 1982 hingga 2008.

Bukankah lebih baik jika Kit Siang bercerita secara jujur dahulu bagaimana DAP mendapat dana politik parti mereka? Kerana menurut Mohamed Razali, selain dana dari luar negara, DAP juga mengambil kesempatan dengan mengumpul dana politik dari para pemaju di Pulau Pinang dan sebagai imbuhannya mereka mendapat projek-projek pembinaan di negeri itu.

Mohamed Razali menjelaskan bahawa bilangan rumah urut haram yang didalangi kongsi-kongsi gelap juga bertambah bak cendawan tumbuh selepas hujan di Pulau Pinang dan Selangor.

“Tidak dapat dinafikan kongsi-kongsi gelap ini ada membantu DAP dalam mengharungi pilihanraya negara namun dana itu tidaklah sebanyak yang diterima dari para pemaju,” ujarnya.

Mohamed Razali turut membongkar teknik DAP yang menggunakan dana kerajaan negeri melalui Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang pada mulanya ditubuhkan untuk membantu pasukan polis.

“Namun DAP menggunakan pasukan PPS untuk kelangsungan parti dengan menugaskan mereka memacakkan bendera-bendera DAP,” katanya.

Kesimpulannya, Kit Siang sepatutnya berhenti memutar belit tentang dana politik yang diterima DAP dari negara luar. Mengaku sajalah, cuba jadi jujur dan berhenti mengambil kesempatan atas kenaifan orang lain. Penafian Kit Siang ini menunjukkan beliau sendiri yang hilang ketelusan dan akauntabiliti kerana tidak bersedia untuk berterus-terang.

Sumber: http://klxpress.com.my/editorial/5588-dap-terima-dana-asing-sejak-tahun-2008.html