DAP Tolak Transformasi Pembiayaan Politik & Berbohong Dakwa Pandangan Tidak Diminta – Abdul Rahman Dahlan

Intipati wawancara Datuk Abdul Rahman Dahlan, Pengarah Komunikasi Strategik BN mengenai DANA POLITIK dalam program Landskap Khas, TV1 RTM.

1. Kenapa sekarang baru timbul soal derma? Penuduh tidak perlu bukti, mereka hanya buat dakwaan. Kerajaan perlu lebih bertanggung jawab, tidak boleh jawab tanpa fakta dan siasatan. Dalam hal 1MDB misalnya, jawapan telah diberi tetapi tidak dipercayai. Jadi PM arahkan supaya disiasat. Sama juga dalam hal dana, PM arah, ia disiasat.

2. Kenyataan SPRM tunjukkan akaun itu wujud. Tapi persoalan pokok, wang ini bukan dari hasil rompakan 1MDB atau duit rakyat sebaliknya daripada penderma. Soal siapa penderma dan bagaimana dibelanjakan, itu terpulang kepada pemilik akaun. Paling penting tuduhan asal yang berat telah terjawab dan netizen wajar minta pembangkang mohon maaf kerana tindakan mereka jejaskan kestabilan ekonomi Malaysia.

3. Siapa penderma? Terserah kepada PM untuk sebut. PM telah bagi komitmen secara terbuka jika pembangkang setuju untuk buat reformasi pembiayaan politik, dia akan buat percubaan ini. Jangan pula pembangkang minta BN isytihar tetapi mereka sendiri tidak mahu isytihar. Banyak juga tuduhan mereka terima dana daripada Soros, Open Society, NED dan NDI.

4. Dap kata tidak pernah diminta pandangan? Dap berbohong. Saya telah sebut masa, tempat dan hari mereka keluarkan kenyataan kepada Transparency International dan boleh tunjuk minit, nama dan kenyataan yang diberikan secara verbatim.

5. Dana politik halal? Tiada larangan untuk sesiapa daripada menerima dana politik. Sama juga di luar negara. Ada yang jumlahnya jauh lebih besar dari yang diuruskan di Malaysia.

6. Jika parti politik setuju transformasi, sama ada mereka boleh maklum kepada umum atau jika pembangkang tidak bersetuju, boleh juga dicadangkan agar SPRM dan polis boleh mempunyai akses kepada nama penderma dan jumlah sumbangan. Isu ini kami perjuangkan sejak tahun 2009 dan saya gembira ia dibincangkan oleh netizen. BN telah bersedia untuk transformasi ini sejak 2009.

7. Penggunaan akaun peribadi? Ia tidak dilarang dalam Perlembagaan UMNO dan undang-undang negara. Presiden-presiden parti politik, bukan saja UMNO, dipertanggung jawabkan untuk mencari dana dan diberikan hampir kuasa mutlak. Dulu ada cerita dana ini diletakkan di bawah proksi dan ini merisaukan. Lebih baik letak di bawah Presiden. Tun M sendiri sebut susah untuk dapat balik duit. Bila bercerai, isteri tuntut. Ada yang kata itu bukan harta UMNO. Tun M sendiri sebut, duit dan aset yang diserah kepada Pak Lah sebanyak RM1.4 bilion itu bukan semua. Dia masih mencari dan ada masalah untuk dapatkan semua.

8. Bila wang masuk pada tahun 2013, sistem akan digerakan. Dalam negara, jika nak masukkan RM50 ribu pun kena isi borang dan Bank Negara akan tahu pergerakan duit. Tidak ada cara untuk lindungi sebab akaun atas nama PM dan duit dimasukkan di Malaysia. Jika Bank Negara tahu, maksudnya Bank Negara tahu sumber dana ini selari dengan undang-undang.

9. Adakah UMNO gembira dengan kenyataan SPRM? Ya, kerana tuduhan pertama yang dilemparkan kepada PM adalah beliau merompak duit rakyat, 1MDB. Sekarang SPRM dah buat kenyataan ia bukan dari 1MDB.

10. Jika tidak salah kenapa akaun ditutup? Soal akaun dibuka dan ditutup itu amalan biasa. Soalan pembangkang adalah untuk alihkan rakyat dari isu pokok, iaitu duit itu bukan daripada 1MDB. Dia tidak minta maaf atas tuduhan sebelum ini sebaliknya bangkitkan soal remeh temeh, tutup tak tutup akaun. Sekarang isu pokok telah selesai. Soal pengeluaran, ia dikeluarkan menggunakan cek dan ia boleh disemak dan disiasat.

11. Adakah RM2.6 dana PRU13? PM sudah jelaskan ia untuk CSR dan aktiviti politik parti. Ia bukan semata-mata untuk PRU. Sepanjang tahun parti politik ada program. Lebih-lebih lagi UMNO yang ada di semua tempat di seluruh negara, kecuali Sarawak.

12. UMNO adalah parti yang matang dan ada rakan-rakan di seluruh negara dan dunia. Dalam soal sumbangan, misalnya, kita bantu rakyat Palestin kerana kita orang islam dan mahu bantu mereka. Jika ada yang mahu menderma kerana hendak lihat perjuangan UMNO diteruskan, itu satu tindakan yang mulia. Ramai penderma yang rajin menderma misalnya Putera Al Walid bin Talal dan Bill Gates, yang penting tiada syarat dikenakan.

13. RM2.6 bukan datang daripada 1MDB? 1MDB sendiri kata ia tak beri. Kedua, pelaburan sebanyak USD1.8 bilion, dapat semula USD2.3 bilion. Bagaimana nak kata hilang apabila jumlahnya bertambah. Soal lain, Jho Low, Paris Hilton dan sebagainya hanya nasi tambah untuk menyedapkan cerita.

14. Pembiayaan politik tidak menjadi suatu isu sebelum ini kerana semua parti menerima dana politik, cuma sama ada nak beritahu daripada siapa mereka terima dan berapa banyak jumlahnya. Dalam sejarah UMNO, tiada Presiden yang perlu cari dana untuk Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah yang bukan di bawah BN. Bila PM cuba mencari dana saya ucapkan terima kasih kerana ia dapat menggerakkan aktiviti parti bagi mendapatkan sokongan rakyat.

15. Kes rasuah MB Selangor, kenapa dulu derma menjadi isu? Pertama, soal keikhlasan penderma. Kedua, dia menderma bukan untuk pulangan. Insiden dulu mungkin kerana dia memberi derma selepas dia dapat projek. Yang ini berbeza, kerana ia derma tanpa mengharapkan pulangan dari parti and kerajaan. Hanya kerana dia selesa dengan perjuangan.

16. Dulu BN tak perlu sehingga RM2.6 bilion untuk PRU? Dulu pada tahun 2003, Tun M serah RM1.4 bilion kepada Pak Lah, itupun bukan semua kerana proksi tidak beri kerjasama. Kalau 12 tahun dulu UMNO ada RM1.4 bilion, sekarang dengan cabaran 4 negeri tidak di bawah BN, cabaran media sosial dan cabaran pembangkang yang kuat, RM2.6 bilion pada saya berpatutan.

17. Bagaimana jika BN lakukan kesalahan pilihan raya? Tindakan boleh dikenakan, tetapi sebelum itu, perlu ada siasatan. Bila pembangkang lontar tuduhan, bukan bermakna ia berasas. Bila tuduhan bahawa wang ini datang daripada 1mDB, pada hari pertama lagi, PM dan 1MDB telah menafikannya. Bila tak percaya, maka ia disiasat. Bila telah disiasat dan ada keputusan, kita kena hormat keputusan itu.

18. Sama ada tuduhan ini betul atau tidak kesan tuduhan kepada ekonomi negara amat besar? Ya, jika selama setahun kita dakwa RM2.6 bilion atau RM42 bilion hilang, sebenarnya kos terhadap kerajaan lebih besar daripada RM42 bilion kerana peningkatan kos meminjam, hilang peluang pelaburan dan kesan terhadap rakyat. Sebab itu kerajaan berpesan supaya jangan terbawa-bawa kerana kita kena jaga ekonomi. Pembangkang tidak peduli malah lebih suka kerana jika ekonomi merudum ia akan menjadi modal politik mereka.

19. NFC misalnya, yang dipertikai RM250 juta, walaupun sebenarnya jumlahnya lebih rendah daripada itu sebab sebahagian daripada jumlah itu belum digunakan, tetapi apabila program gagal, kita terpaksa import lebih RM2 bilion daging setahun; wang yang sepatutnya masuk ke dalam poket penternak-penternak kecil dan satellite farm. Kita marah kerana RM250 juta tetapi kesannya dalam 7 tahun, RM14 bilion mengalir ke negara luar. Sebab itu jangan kerana terbawa dengan dakwaan yang tiada asas, sehingga ganggu ekonomi dan kesannya kepada rakyat.

20. Isu ini juga menjejaskan keyakinan antarabangsa? Saya berterima kasih kepada masyarakat perniagaan kerana walaupun diasak bertubi-tubi, trend, indicator antarabangsa tetap beri petunjuk yang baik, memberi maksud ekonomi negara berada di landasan yang kukuh. Pertumbuhan ekonomi kita lebih baik daripada Thailand dan Singapura. Walaupun Ringgit jatuh, tetapi jika dibandingkan dengan Australia, New Zealand, Kanada dan Rusia keadaan kita lebih baik. Jangan netizen jadikan ia fenomena yang terlalu besar sehingga mejejaskan ekonomi negara.

21. Way forward? Walaupun BN boleh dapatkan cukup undi untuk transformasi, tapi kita mahu ia dipersetujui secara bipartisan dan kita mahu dapatkan komitmen mereka. Alasan takut penderma tidak menderma kepada mereka adalah alasan yang lemah kerana sebagai kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang ada ramai yang akan terus menderma kepada mereka. Dana dari luar negara, Soros, misalnya tidak ada kaitan dengan kerajaan persekutuan.