DAP Turut Mempersoal Pertubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG)

Penubuhan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) Sdn Bhd, entiti baharu idea Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menguruskan pelaburan aset negeri di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bukan sahaja dipertikaikan pembangkang malah DAP turut mempersoalkannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama Yeo Bee Yin berkata, pihaknya tidak yakin dan bimbang aset anak syarikat kerajaan negeri berjumlah RM6.3 bilion diuruskan DEIG, satu syarikat yang tidak tertakluk di bawah enakmen dan tidak bertanggungjawab menyatakan laporan kewangan dalam DUN.

“Kita bercakap tentang RM6.3 bilion aset negeri di bawah DEIG, satu syarikat yang tidak terikat dengan enakmen, bermakna tidak perlu membentangkan laporan dalam Dewan, itu yang kita bimbang.

“Kita belum lihat, belum dengar dan kurang yakin dengan penyelarasannya dan kita berharap dapat satu penjelasan yang jelas tentang mekanisme dan akauntabiliti DEIG,” katanya dalam sidang media di Dewan Annexe di Shah Alam, hari ini.

Azmin dalam DUN pagi tadi berkata, objektif penubuhan DEIG adalah untuk mengukuhkan aset dan menstrukturkan semula semua GLC di bawah MBI.

Namun Adun Kinrara Ng Sze Han berkata, DEIG sebagai syarikat berdaftar hanya bertanggungjawab kepada lembaga pengarah itu perlu dikaji semula.

“Jika kita bercakap tentang amalan penstrukturan korporat adakah perlu satu lagi lapisan seperti DEIG atau adakah MBI perlu penambahbaikan?” katanya.