Ekonomi Malaysia Masih Mempunyai Kedudukan Yang Teguh Walaupun Ekonomi Dunia Secara Amnya Sedang Mengalami Kemelesetan

Y.B. Senator Dato’ Seri Abdul Wahid Omar atau AWO, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan juga penjaga Unit Perancang Ekonomi atau EPU, baru-baru ini berucap di Hari GLC di Kuala Lumpur berkenaan status ekonomi Malaysia di mana Malaysia masih mempunyai kedudukan yang teguh walaupun ekonomi dunia secara amnya sedang mengalami kemelesetan dan Malaysia secara khususnya dibelenggu serangan politik bertubi-tubi dari pihak pembangkang dan juga pihak luar.

Apakah maksudnya ekonomi yang teguh? AWO melaporkan pada tahun 1997/1998, Malaysia mempunyai rizab antarabangsa di bawah USD30 bilion yang hanya cukup untuk menampung 3.2 bulan impot yang berterusan. Pada masa itu juga Malaysia mempunyai tahap dagangan yang negatif dan kebanyakan korporat mempunyai hutang di dalam USD yang cukup berat berbanding pendapatan yang hanya berdenominisasikan Ringgit.

Walaupun akhir-alkhir ini RM11 bilion pelabur luar telah menarik balik pelaburan mereka dari Malaysia, kita masih mempunyai rizab antarabangsa 3 kali tahap pada tahun 1997/1998 iaitu pada tahap USD96.7 bilion pada 31 Julai 2015. Ini bermakna kita masih mempunyai rizab yang cukup untuk menampung 7.6 bulan impot yang berterusan. Lebihan dagangan pula berada pada tahap USD41 bilion untuk separuh tahun pertama 2015 walaupun harga komoditi ekspot utama, iaitu petroleum, merudum jatuh dengan hebatnya.

Malah, pihak korporat sekarang mempunyai kedudukan aset dan tanggungan yang lebih selamat dengan kekurangan hutang di dalam USD. Tahap pekerjaan juga berada di tahap yang sihat di mana hanya 3% masih belum mempunyai pekerjaan. Pihak bank pula berada pada tahap nisbah modal utama tahap 1 (Core Tier 1 Capital Ratio) yang sihat iaitu pada tahap 12.5%. Pihak bank juga mempunyai kadar susut nilai (impairment) aset yang rendah iaitu pada tahap 1.2%. Ini bermakna Bank Negara Malaysia masih berjaya memantau kedudukan industri perbankan dengan efektif.

Keadaan kewangan Malaysia masih menunjukkan pertumbuhan positif di mana defisit belanjawan akan diturunkan dari 3.4% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK atau GDP) pada tahun 2014 kepada 3.2% untuk 2015. Malaysia juga berada pada landasan yang positif di mana kita masih yakin dengan unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahap 4.5% hingga 5.5% untuk tahun 2015.