“GHB Seperti Bini Baharu: Cantik, Kacak & Pandai” – Mat Sabu, Pengerusi Gerakan Harapan Baru

Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu mengibaratkan organisasi itu seperti bini baharu yang mencukupi pakej cantik, kacak, pandai dan sebagainya.

“PAS dan DAP (sudah) bercerai, kena cari bini baru, kitalah (GHB) bini baru. Cantik, baru, kacak, pandai,”kenyataan Mohamad Sabu dipetik oleh wartawan Astro Awani Channel 501, Asyraf Hasnan.

Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri GHB dan Pelancaran GHB Negeri Selangor di Dewan Teratai, Seksyen 19, Shah Alam pada Ahad.

Mat Sabu berkata GHB terbuka dan sedia menerima siapa sahaja untuk menyertainya termasuk Presiden PAS dan ahli Majlis Syura.

“Siapa sahaja kita alu-alukan menyertai GHB termasuk Presiden PAS dan ahli Majlis Syura. Siapa sahaja,” ujar Mat Sabu kepada pemberita.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas wujud desas-desus yang mengatakan Nik Omar, anak kedua kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyertai GHB.

Timbalan Pengerusi GHB, Salahuddin Ayub yang turut ditemui pemberita berkata GHB sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk PAS jika wujudnya keperluan di dalam Pakatan Rakyat 2.0 yang dicanang bakal diwujudkan dalam masa terdekat.

Kata Salahuddin, tugas kepimpinan GHB pada masa kini adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa GHB mampu mengisi kekosongan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Tugas kami hari ini adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa kami mampu untuk mengisi ruang itu. Apabila wujudnya Pakatan Rakyat 2.0 nanti, terpulang kepada kepimpinan dalam PR yang akan kita bincang bersama.

“Itu adalah disiplin kita, etika kita. Sekiranya nanti ada kerjasama ataupun memerlukan parti-parti yang lain, itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden PR,” katanya.

Pada majlis pelancaran GHB Selangor itu, ia juga turut dihadiri wakil pimpinan DAP dan PKR Selangor.

DAP diwakili pengerusi DAP negeri, Tony Pua dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh.

Manakala PKR diwakili Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen PKR, Kuala Langat.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah juga turut hadir.

Dalam perkembangan lain, calon Presiden PAS yang tewas Ustaz Ahmad Awang telah dilantik sebagai Penasihat Umum GHB.

Pelantikan beliau diumumkan pada sidang media selepas majlis perasmian sempena program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI15) anjuran GHB, 16 Ogos.

Menurut sumber, pelantikan Ahmad Awang untuk mengukuhkan lagi GHB pimpinan Mat Sabu.

Ia seperti meniru konsep kepimpinan Iran apabila Ali Khamenei dilantik pemimpin tertinggi Iran, manakala Mahmoud Ahmadinejad dipilih sebagai Presiden Iran.

“Turut berucap pada program malam ini (Ahad) ialah Ustaz Ahmad Awang yang baru dilantik sebagai Penasihat GHB.

“Dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa GHB akan membawa gerakan yang berakhlaq, berhemah, penuh hikmah berdasarkan Al Qur’an dan Hadis.

“Beliau juga mengumumkan bahawa Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin juga bersama dengan GHB,” lapor Gerakan Harapan BARU Malaysia.