Hipokrit Dan Tak Tahu Malu. Apabila SPRM Menyiasat Pemimpin Mereka Pula Agensi Kerajaan itu Dikecam dan Dituduh ‘ANJING UMNO’

Bak sesumpah, pembangkang bertukar warna lagi. Bila ada kepentingan mereka sanggup menjilat ludah sendiri demi kepentingan peribadi.

Ulas Presiden Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim berikutan sikap pemimpin pembangkang yang tiba-tiba mengajak rakyat Malaysia untuk menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meneruskan siasatan terhadap RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Tegas beliau, jika sebelum ini SPRM begitu teruk dikejam malah dituduh pembunuh berkaitan isu kematian mendiang Teoh Beng Hock, kini apabila melihat ada peluang untuk menangguk di air keruh, mereka sanggup ‘menebalkan muka’ melawat ke pejabat SPRM kononnya memberi sokongan.

“Hipokrit dan tidak tahu malu. Itulah yang saya boleh simpulkan dengan sikap pembangkang ini. Semasa kes mendiang Teoh Beng Hock, mereka mendesak suruhan diraja ditubuhkan kononnya SPRM tidak telus.

“Kini mengapa SPRM dijulang sehingga sanggup menjilat ludah sendiri. Ini jelas menggambarkan sikap pembangkang yang suka mengambil kesempatan. Pantang ada ruang pasti mereka gunakan asalkan ia memberi imbuhan yang baik kepada mereka,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Azrinizam, beliau amat berharap agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan permainan politik murahan pembangkang.

Ini kerana tambahnya sokongan yang diberikan ini hanyalah wayang semata-mata untuk mengaburi mata rakyat dan mendapatkan keuntungan politik.

“Apabila SPRM menyiasat pemimpin mereka pula, sudah pasti agensi kerajaan itu akan dikecam semula dan dituduh menjadi ‘barua’ UMNO”, katanya.