Jika Telus, Kenapa Pembangkang Takut Isytihar Sumber Dana Parti?

Pembangkang terutamanya Dap sering berborak katanya mereka sentiasa berpegang kepada prinsip telus dan berakauntabiliti. Namun apabila sesuatu dasar itu dilihat mampu mengganggu-gugat kedudukan parti, mereka terus melakukan sesuatu yang bertentangan.

Sikap hipokrit Dap jelas terlihat apabila mereka tetap tidak bersetuju dengan ulangan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengenai peraturan yang menghendaki setiap parti politik mendedahkan sumber dana yang diterima.

Dahulu mereka cukup kecoh meminta Perdana Menteri mendedahkan sumber dana sumbangan yang diterima, tetapi menikus dan mencari pelbagai alasan apabila mereka juga disuruh membuat perkara sama.

Jika Dap benar-benar telus dan ikhlas, pasti mereka menerima cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah memberikan jaminan akan mendedahkannya dengan syarat parti pembangkang juga bersetuju berbuat demikian.

Baru-baru ini Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah mencadangkan mengenai pengisytiharan dana sumbangan kepada parti politik tetapi mendapat tentangan daripada PKR dan Dap.

Rahman Dahlan turut menyatakan di dalam mesyuarat Transparency International-Malaysia (TI-M) bersama ahli Parlimen pakatan pembangkang pada 1 Disember 2010 lalu, minit mesyuarat melaporkan Tian Chua sebagai berkata:

“Beliau bimbang pengisytiharan penuh akan menjejaskan penyumbang dan seterusnya menjejaskan pembiayaan bagi parti pembangkang, kebimbangan bahawa penyumbang mungkin didakwa oleh parti yang menang kerana menyokong pakatan pembangkang dalam mana-mana pilihan raya umum. Ini dengan sendirinya akan menyebabkan pengurangan sumber kewangan bagi pakatan pembangkang.”

Begitu juga dengan reaksi ahli Parlimen Dap dari Rasah, Anthony Loke turut menyuarakan perkara sama menerusi Forum Majlis Peguam mengenai pembiayaan politik pada 29 September 2011.

“Sedangkan pada waktu itu lagi Perdana Menteri secara terbuka menyokong usaha tersebut sebagai langkah yang amat baik di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP), tetapi mereka? Awal-awal lagi telah menolak.

Kemudian, apabila isu dana sumbangan parti itu timbul, mereka tanpa segan silu mendesak pula hendak tahu dari mana punca kewangan tersebut?

Kesimpulannya, para pemimpin kerajaan diharap supaya tidak terlalu mengikut rentak pembangkang yang sentiasa mencari kelemahan, jangan kita hiburkan mereka dengan permintaan dan pertanyaan kurang cerdik itu kerana mereka sendiri tidak boleh melakukan seperti yang dipinta.