Mahkamah Keluar Waran Tangkap Ke Atas Clare Rewcastle Brown

Mahkamah Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap ke atas pengasas dan pengarang laman web Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown untuk siasatan atas dakwaan menjalankan kegiatan yang mengancam demokrasi berparlimen.

Dia juga dikehendaki untuk siasatan atas dakwaan menerbitkan laporan palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohmad Salleh menyebut Clare dikehendaki di bawah Seksyen 124B dan 124I Kanun Keseksaan yang baru dipinda.

“Kami akan meneruskan permohonan untuk meletakkan dia dalam senarai orang yang dikehendaki oleh AseanaPol serta notis merah Interpol,” katanya dalam kenyataan itu.