Malaysia Airports Holdings Bhd Kecewa Dengan Tuntutan Airasia

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengesahkan menerima surat tuntutan daripada AirAsia Bhd berhubung kerugian dan kerosakan yang dikatakan dialami dalam operasinya di klia2 dan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).

“Kami terkejut dengan dakwaan ini mengenai klia2 dan LCCT. AirAsia telah meraih manfaat daripada kemudahan yang disediakan oleh Malaysia Airports sejak 2001 dan berkembang menjadi LCC terbesar di Asia,” kata Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali kepada Bernama di sini hari Jumaat.

Beliau berkata MAHB dan peguamnya sedang mengkaji perkara itu dan akan membuat pengumuman secepat mungkin.

“Kami menganggap dakwaan ini sebagai tidak berasas dan akan mencabar mereka. Kami telah mengarahkan peguam kami untuk melihat perkara ini,” katanya.

AirAsia sebelum itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata ia telah menyerahkan surat tuntutan berjumlah RM409 juta kepada MAHB dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd untuk kerugian dan kerosakan yang dialami berikutan operasi dari klia2 dan LCCT.