Malaysia Mampu Harungi Cabaran Ekonomi Semasa – Abdul Wahid Omar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

Malaysia mampu mengharungi cabaran ekonomi semasa berikutan asas-asas ekonominya yang kukuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata persekitaran semasa yang dihadapi negara adalah berbeza berbanding keadaan ketika krisis kewangan 1997/98.

“Dahulu pada 1997/98, rizab antarabangsa Malaysia di bawah paras US$30 bilion yang hanya cukup untuk membiayai 3.2 bulan import tertangguh.

“Pada masa itu kita dalam keadaan perdagangan defisit dan kadar hutang korporat adalah tinggi dengan kebanyakan meminjam dalam dolar AS manakala pendapatan serta aset mereka dalam ringgit,” katanya semasa melancarkan Pertandingan Reka Bentuk Inovasi Malaysia 2015, di sini Selasa.

Abdul Wahid berkata sekarang, sekalipun selepas aliran keluar baru-baru ini, rizab antarabangsa Malaysia sekurang-kurangnya tiga kali lebih besar pada US$96.7 bilion setakat 31 Julai 2015.

Lebihan perdagangan mencecah RM41 bilion bagi tempoh separuh pertama 2015 sekalipun harga minyak dan komoditi lebih rendah, manakala lembaran imbangan korporat pula lebih sihat, katanya.

Abdul Wahid berkata situasi pasaran buruh negara juga stabil dengan kadar pengangguran rendah pada tiga peratus manakala bank mempunyai modal yang kukuh berserta kualiti aset yang baik dengan kadar pinjaman terjejas rendah pada 1.2 peratus.

Menyentuh perkembangan lain, beliau berkata kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan adalah penting dalam mengoptimumkan kumpulan bakat bagi menyokong Program Transformasi Ekonomi.

“Seperti yang diketengahkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi), untuk menangani ketidaksepadanan antara graduan dan majikan menuntut kerjasama industri-institusi pendidikan yang lebih hebat dan penglibatan industri dalam ruang akademi,” katanya.

Inovasi Malaysia merupakan pertandingan reka bentuk pelbagai disiplin kejuruteraan yang dibuka kepada pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan dan sains komputer di universiti tempatan.

Pertandingan yang dianjur oleh Altera, Intel, Keysight, MathWorks, Microsoft, National Instruments dan SilTerra itu menarik penyertaan lebih 400 pelajar dari lebih 30 institusi pengajian tinggi.